Jangkitan Covid-19 meningkat kepada 6,796 kes minggu lalu

Walaupun berlaku peningkatan kes, keadaan masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada

8:43 PM MYT

 

PUTRAJAYA  – Kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 6,796 kes pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME48/2023) iaitu dari 26 November hingga 2 Disember lepas berbanding 3,626 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kadar kemasukan pesakit Covid-19 termasuk pesakit yang disyaki positif jangkitan itu ke fasiliti kesihatan adalah 3.5 bagi setiap 100,000 penduduk dan 1.0 bagi setiap 100,000 penduduk adalah bergejala ringan. 

Katanya, pada ME48/2023 pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.8 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal Covid-19 pula 1.1 peratus.

Dr Muhammad Radzi berkata, hingga ME48/2023, 72.9 peratus daripada varian membimbangkan (VOC) yang dikesan merupakan varian Omicron, diikuti dengan 26.2 peratus varian Delta dan selebihnya varian Beta dan Alpha.

“Hingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia dan tiada petunjuk varian yang beredar secara tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19, secara keseluruhan keadaan di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada. 

“Peningkatan kes Covid-19 juga dilaporkan secara global termasuk di Malaysia dan di negara jiran. KKM akan terus memantau situasi dan varian Covid-19 dari semasa ke semasa serta sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai sentiasa mengamalkan langkah pencegahan antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi dan mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan ) sekiranya bergejala.

Pesakit Covid-19 perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk terutama kepada kumpulan berisiko tinggi, manakala individu bergejala dinasihatkan berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai.

Sekiranya perlu ke tempat awam, individu bergejala dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan jangkitan dan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka.

Bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi boleh mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat bagi mengurangkan risiko mendapat komplikasi jangkitan yang serius. – BERNAMA

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related