PETALING JAYA – Suasana taman permainan di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini yang dahulunya riuh dengan gelak tawa dan wajah riang kanak-kanak, kini sepi selepas tragedi kanak-kanak istimewa, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui meninggal dunia di kawasan berhampiran.
Menerusi cerita dikongsikan seorang penduduk enggan dikenali yang juga jiran mangsa, taman permainan itu terletak berhadapan kediaman keluarga Zayn dan sememangnya menjadi tempat ibu bapa membawa anak kecil mereka beriadah, malah ada antaranya berada di situ hingga jam 2 pagi.
Namun, keadaan berubah suram kerana penduduk ketakutan selepas penemuan mayat Zayn Rayyan di kawasan anak sungai kira-kira 200 meter dari taman permainan berkenaan, Rabu lalu.
“Sejak kes adik Zayn, memang budak-budak dah tak main di taman ini. Kalau tidak, asal balik sekolah pasti kawasan ini riuh rendah dengan suara kanak-kanak.
“Dulu, taman permainan ini ‘hidup’ sampai jam 2 pagi, lebih-lebih lagi kalau esoknya cuti sekolah.
“Tapi sekarang, semua jadi takut dan trauma nak main di situ, bukan sahaja budak-budak, kami orang dewasa pun tak berani dah nak keluar sangat selagi penjenayah ini belum ditangkap,” katanya kepada Scoop.
Mengakui kurang mengenali keluarga mangsa yang baru menetap di situ kira-kira dua tahun lalu, dia bagaimanapun katanya pernah beberapa kali melihat Zayn bermain di taman permainan tersebut memandangkan tingkap rumahnya menghadap lokasi berkenaan.
“Saya pernah nampak adik Zayn main di situ, boleh kata kalau dia balik sekolah, memang situlah tempat dia singgah dulu sebelum balik naik ke atas rumahnya.
“Tapi sekarang dah tiada kelibat dia lagi, tergamak suspek buat benda tak berperikemanusiaan lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak sepertinya,” katanya.
Apartment Idaman yang mempunyai 18 blok dengan 2,484 unit kediaman, didiami 60 peratus penduduk warganegara tempatan, manakala selebihnya warga asing.
Terdahulu, Zayn Rayyan yang dilapor hilang oleh keluarganya pada 5 Disember lalu, ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.
Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumahnya.
Kanak-kanak itu disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.
Pencarian dan penemuan mangsa adalah hasil operasi Op Tutup dari rumah ke rumah digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, dengan membabitkan 40 anggota polis bersama 60 penduduk setempat.
Usaha pencarian turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan yang membabitkan kawasan belukar serta longkang berhampiran, sekitar 300 meter radius.
Polis kemudian mengesahkan Zayn Rayyan dibunuh dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 Disember, 2023