KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mengesahkan sudah menerima surat pemecatannya daripada parti lewat malam tadi.
Menurutnya, surat yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki itu diterima menerusi aplikasi WhatsApp daripada pegawainya.
“Saya terima surat itu nak dekat pukul 12 tengah malam tadi melalui WhatsApp. Surat ditandatangani SUA Umno itu dipass (dihantar) kepada pegawai saya, kemudian pegawai pass (hantar) kepada saya,” katanya kepada Scoop.
Ditanya sama ada dia akan merayu, Isham berkata, dia tidak akan berbuat demikian kerana keputusan sudah dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa melalui Lembaga Disiplin parti.
“Saya tak merayu. Tiada guna merayu sebab Presiden dah buat keputusan dan setahu saya tanpa melalui Lembaga Disiplin,” katanya.
Berdasarkan surat pemecatan bertarikh 8 Disember itu, Isham dipecat berkuat kuasa serta-merta di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan Umno.
Keputusan pemecatan itu dibuat kerana tindakannya melanggar etika ahli Umno.
Pada malam Rabu lalu, Scoop melaporkan MKT Umno membuat keputusan untuk memecat Isham.
Mesyuarat MKT pada malam itu yang dipengerusikan Zahid turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden Umno dan berlangsung selama kira-kira dua jam.
Isham sebelum ini beberapa kali mengkritik pendirian diputuskan MKT Umno berkenaan kerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan, yang dilihat bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini, dalam usaha memperkukuh kerajaan ketika ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Umno sebelum ini dipilih sebagai Ahli MKT sebaik berakhir pemilihan parti itu awal tahun ini.
Selain Isham, Umno juga memecat beberapa pemimpinnya sebelum ini termasuk bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Umno juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan. – 9 Disember, 2023