PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff berharap pihak syarikat rakaman Warner Music Malaysia dapat memberi penjelasan berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba pada 1 Disember lalu tanpa sebarang alasan munasabah.
Menurut Kaka, sebagai salah seorang artis rakaman, dan antara yang paling lama bersama Warner Music Malaysia, dia percaya, paling kurang dia seharusya diberikan sebab rasmi yang menjelaskan mengapa pihak pengurusan Warner Music Malaysia memutuskan untuk menamatkan kontraknya.
“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak saya ditamatkan, kerana saya percaya rezeki Allah itu luas, tapi saya terkilan kerana ia ditamatkan sedemikian rupa, secara tiba-tiba, tanpa menyatakan sebab dengan jelas atau ruang perbincangan, walaupun tempoh notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya kepada Scoop.
Kaka dalam sidang media khas yang diadakan sebentar tadi berkata, seandainya tiada jalan penyelesaian, dia melalui pihak peguamnya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesan selepas penamatan kontrak.
Jelas Kaka Lagi, dia ada bersemuka dengan pihak syarikat rakaman itu dalam pertemuan pada 30 November lalu, namun tiada pernincangan dilakukan, sebaliknya mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.
“Saya tidak tandatangani surat berkenaan, sebab saya perlu perhalusi terma bersama peguam. Namun, mereka menegaskan tindakan saya bercanggah dengan polisi global,” katanya.
Mengulas komennya terhadap pelakon dan pempengaruh dari Australia, Nathaniel Buzolic, Kaka mengakui, dia berada dalam keadaan yang emosi sewaktu membalas hantaran itu menerusi mesej langsung dengan individu tersebut.
“Saya bukan antisemitik dan saya tidak bersifat perkauman seperti yang diwar-warkan pihak tersebut. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi terus kepada individu itu bukan memberikan komen secara terbuka.
“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya itu agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu, bahkan sehingga kini pun, saat menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku di hadapan mata seisi dunia pada waktu ini.
“Bagi saya apa yang saya lakukan itu bukanlah suatu ucapan kebencian. Tetapi, apa yang mereka lakukan itu menampakkan seolah-olah seperti saya yang bersalah,” katanya.
Sementara itu peguam yang mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil berkata, ketidakadilan secara terangan berlaku apabila kontrak hanya memberikan keuntungan kepada pihak label, malah Warner Music Malaysia turut meletakkan klausa baharu.
“Kita buka ruang untuk berbincang dengan Warner Music Malaysia sebab lepas penamatan kontrak ada kesan terhadap Kaka. Kalau perbincangan itu berjalan dengan baik, kami boleh selesaikan dengan baik. Kalau sukar mendapatkan persetujuan maka kemungkinan akan ada pemfailan kes di mahkamah tapi masih terlalu awal untuk bercakap soal itu,” katanya.
Tambah Aidil, perjanjian rakaman di antara Kaka Azraff dan Warner Music Malaysia sepatutnya masih berbaki beberapa tahun lagi, dengan pilihan untuk diperbaharui dan dilanjutkan dari semasa ke semasa, seperti mana yang berlaku dalam kontrak-kontrak sebelum ini, di antara Kaka dengan Warner Music Malaysia, sejak dari 2018 lagi.
“Bagaimanapun, pada 1 Disember, iaitu pada hari Jumaat yang lalu, Kaka diserahkan dengan satu Notis Penamatan oleh pihak pengurusan Warner Music Malaysia.
“Seperti yang dapat diteliti, Notis Penamatan itu, hanya memaklumkan bahawa ia akan berkuatkuasa pada 31 December 2023 (iaitu tempoh notis selama 30 hari), tetapi tidak menyatakan sebab-sebab mengapa ia ditamatkan.
“Namun demikian, di pihak peguam, memandangkan seperti yang dinyatakan tadi, tiada sebarang sebab munasabah yang diberikan pengurusan Warner Music Malaysia di dalam Notis Penamatan tersebut.
“Maka. kami meminta Warner Music Malaysia untuk memperjelaskan perkara ini, adakah benar penamatan itu adalah disebabkan oleh Direct Message Kaka yang bersimpati dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan Gaza, serta menempelak Israel?
“Sekiranya tidak benar, maka sila nafikan, dan berikan sebab mengapa penamatan kontrak Kaka Azraff diputuskan sedemikian,” katanya.
Terdahulu, kontraknya Kaka bersama Warner Music Malaysia didakwa ditamatkan gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.
Kemelut Kaka bersama syarikat pengurusan kontrak rakamannya itu tercetus apabila Kaka meninggalkan komen secara mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia pro-Israel, Buzolic mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story.
Tindakan Kaka meraih perhatian pempengaruh popular tersebut yang kemudian memuat naik semula tangkap layar butiran mesejnya.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan perang. Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?” tulisnya.
Gara-gara kenyataan tersebut, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai Pembenci Yahudi dan antisemitik.
Difahamkan, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berbaki beberapa tahun lagi. – 6 Disember, 2023