PUCHONG: Tiga defendan kes saman fitnah membabitkan penyanyi Siti Nordiana, iaitu Lan Solo, Syura dan Sheila tampil memberi kenyataan dalam sidang media khas di kediaman penyanyi lelaki itu.
Menurut ketiga-tiga mereka, sidang media itu diadakan bagi menjelaskan kronologi kes dan situasi sebenar yang berlaku sepanjang dua tahun setengah ia berjalan di mahkamah, sehingga perbicaraan tidak diteruskan selepas plaintif serta defendan bermaafan.
Peguam mewakili tiga defendan itu, Azlan Abdul Razak berkata, permohonan maaf sudah dibuat untuk pertama kali di antara plaintif dan kesemua defendan semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Mengikut terma persetujuan dipersetujui kedua-dua pihak, terma pertama yang ditetapkan adalah plaintif dan kesemua defendan bersetuju bermaafan di hadapan hakim secara terbuka, seperti mana tertera di dalam lampiran A sebagai penyelesaian penuh serta muktamad bagi tindakan terbabit.
“Kedua, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula kes itu di atas dasar sama.
“Terma ketiga pula, tiada perintah terhadap kos. Plaintif tidak perlu bayar satu sen pun kepada defendan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Dia berkata, dalam kes itu, tiada siapa benar dan salah kerana masing-masing sudah berdamai.
Sementara itu, kata Lan, dia mengakui mengenai khilafnya bersama defendan lain dan bersedia menyelesaikan kes berkenaan sejak awal.
Namun, katanya, terdapat syarat ditetapkan Siti Nordiana yang membuatkan dia dan kesemua defendan terpaksa membawa kes terbabit di mahkamah.
“Kami akui khilaf dan keterlanjuran kami. Sebagai manusia biasa, kami tiada masalah membuat permohonan maaf dari awal dan mungkin kes ini tidak akan berlanjutan sehingga kini.
“Bagaimanapun, usaha kami untuk memohon maaf disekat dengan beberapa syarat, antaranya perlu memohon maaf secara terbuka di satu sidang media dan membayar sejumlah wang yang besar nilainya kepada plaintif,” ujarnya.
Syura pula berkata, dia menyangkal dakwaan netizen yang menyifatkannya dan defendan lain sangat ego untuk memohon maaf kepada Siti Nordiana.
“Kami sebenarnya bersedia dari awal. Tak pernah rasa ada ego seperti persepsi orang ramai yang mengatakan kami buat salah tetapi tak mahu minta maaf. Ada kata kalau kami minta maaf dari awal pasti tidak akan disaman RM2.5 juta.
“Tetapi seperti diberitahu, saya dan rakan-rakan merasakan syarat ditetapkan untuk kami membuat permohonan maaf itu agak melampau untuk kami turuti. Bukan meminta maaf itu melampau tetapi jumlah wang diminta itu sangat besar. Bukan RM10, RM20 atau RM1,000,” kongsinya.
Hampir dua tahun setengah dimaki dan dicaci netizen, isteri kepada Lan, iaitu Sheila berkata, mereka banyak bersabar dan mengambil pendekatan untuk tidak memberikan kenyataan sepanjang kes berlangsung, demi menghormati mahkamah serta mengikut nasihat peguam.

“Kami tak pernah mengatakan perbuatan kami itu betul dan kami tak pernah bangga dengan perbuatan kami. Pengajaran saya dapat di sini, andai perkara ini boleh diselesaikan secara baik, teruskan. Kalau kita bertangguh, akan mencetuskan lebih banyak spekulasi tidak benar,” katanya.
Ditanya bagaimana hubungan kesemua mereka dengan Siti Nordiana selepas ini, masing-masing terbuka untuk bertemu di mana-mana majlis dan tiada masalah kembali bekerjasama.
“Kami pernah bertemu di belakang pentas. Tak pernah bermusuhan. Malah, pernah berkongsi pentas sama. Kami akan bersikap profesional demi kerjaya. Malah, sebelum ini kami sering digandingkan bersama,” kata Lan.
Terdahulu, kes saman fitnah RM2.5 juta dikemukakan penyanyi Siti Nordiana atau nama penuhnya, Alias terhadap lima sekawan, iaitu Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38 serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.
Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43. – 6 Disember 2023