COP28: Malaysia komited sokong pelan tindakan perubahan iklim Asean

Malaysia mengiktiraf keperluan bagi respons pantas dan bermakna terhadap perubahan iklim: Nik Nazmi

10:20 PM MYT

 

DUBAI – Malaysia berikrar untuk memastikan pelaksanaan berkesan Pelan Tindakan Kumpulan Kerja Perubahan Iklim Asean (AWGCC), kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata sebagai Pengerusi AWGCC, Malaysia komited untuk memupuk kerjasama, memacu inovasi dan menyokong pelaksanaan berkesan pelan tindakan perubahan iklim kolektif dalam komuniti Asean.

“Malaysia mengiktiraf keperluan bagi respons pantas dan bermakna terhadap perubahan iklim,” katanya semasa forum Kepimpinan Asean dalam Menangani Perubahan Iklim di Pavilion Malaysia di luar Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini.

Nik Nazmi berkata memandangkan perubahan iklim adalah penting kepada rantau ini di platform global seperti COP28, terdapat keperluan bagi Semangat Asean untuk meneroka peluang dalam merundingkan isu kepentingan bersama sebagai satu suara.

“Sebagai contoh, saya amat percaya Asean adalah sebuah institusi yang mempunyai kuasa bagi mengetengahkan rundingan mengenai isu iklim di UNFCCC.

“Kepimpinan dan peranan Asean adalah aset belum diteroka yang boleh dimanfaat untuk merundingkan isu kepentingan bersama seperti Peralihan Adil, Pembiayaan Iklim, Kerugian serta Kerosakan dan Matlamat Global mengenai Adaptasi,” katanya.

Nik Nazmi juga berkata langkah membangunkan strategi mitigasi jangka panjang bagi Asean adalah penting bagi memaklumkan perancangan dasar sektor dan rentas sektor selaras dengan laluan ke arah mencapai matlamat Perjanjian Paris.

“Dalam hal ini, Malaysia sedang merangka Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), yang akan menjadi garis panduan komprehensif untuk aspirasi kita ke arah mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050.

“Antara keutamaan Malaysia ialah menggubal rang undang-undang perubahan iklim, penubuhan dana adaptasi negara dan pembangunan mekanisme pasaran karbon,” katanya. – 2 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

What happened to gag order on Zakir Naik? Activists urge for probe after preacher’s public speech in Perlis

Lack of authorities’ action will embolden him to sow further hate, lawyer Siti Kasim says

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related