10 ahli Parlimen kerajaan sokong PN mustahil terlaksana, ‘tunggu kereta terbang boleh terbang’: Puad

Puad berkata, dakwaan Redzuan itu juga disifatkan kejutan kerana ia tidak logik

3:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof kononnya 10 ahli Parlimen kerajaan mungkin beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai ‘mustahil terlaksana’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Redzuan itu juga disifatkan kejutan kerana ia tidak logik.

Malah, secara sarkastik, Puad menegaskan, perkara itu mungkin berlaku jika kereta terbang seperti yang dirancang Redzuan ketika memegang jawatan Menteri sekitar 2019, ‘boleh terbang’

“Ahli MPT Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof dakwa mungkin 10 ahli Parlimen kerajaan akan beralih sokongan kepada PN.

“Itu memang kejutan. Tetapi itu hanya akan berlaku jika ‘kereta terbang’ yang dirancang Redzuan masa jadi Menteri dulu ‘boleh terbang’.

“Selagi kereta terbang mustahil terbang, maka 10 orang batch (kelompok) pertama itu juga mustahil ‘terbang’ ke PN,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Redzuan bahawa spekulasi lebih 10 ahli Parlimen kerajaan bakal beralih sokongan terhadap PN untuk membentuk kerajaan baharu, sebenarnya lebih kuat dan realistik berbanding ura-ura tambahan ahli Parlimen PN bakal berpaling tadah daripada blok pembangkang itu.

Dalam kenyataannya seperti dilaporkan media tempatan, Redzuan berkata, spekulasi terbabit bukan sekadar cakap kosong susulan beliau dimaklumkan terdapat perbincangan secara dalaman dalam kalangan pucuk pimpinan tertinggi berkenaan perkara itu.

Menurutnya, lebih 10 ahli Parlimen daripada parti Kerajaan Perpaduan, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipercayai menjadi kelompok pertama bakal menyatakan sokongan terhadap blok pembangkang, diikuti kelompok ahli Parlimen kerajaan lain.

Terdahulu, ketika memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan di bawah Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad, Redzuan mencetuskan idea dan berusaha untuk memperkenalkan kereta terbang.

Malah, pada 2019, beliau dilaporkan berkata, projek membina kereta terbang pertama negara itu, sudah 85 peratus siap dan prototaip pengangkutan terbabit sedang dibina syarikat Malaysia di Jepun, berikutan kuasa ekonomi berkenaan mempunyai ekosistem sokongan untuk industri kereta terbang.

Bagaimanapun, idea itu mencetuskan kontroversi dan ‘dicemuh’ pelbagai pihak yang mengatakannya sebagai ‘idea mengarut dan sukar dilaksanakan’.

Rancangan pelaksanaan projek itu akhirnya ‘senyap’ dan perkembangannya tidak diketahui, terutama selepas Redzuan sudah tidak menjadi Menteri.

Khabar angin mengenai terdapat lebih ramai ahli Parlimen kerajaan yang akan menyokong PN seperti hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu, turut dinafikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa tiada mana-mana ahli Parlimen daripada parti itu, akan berpaling tadah menyokong PN.

Tegasnya, jaminan itu berpandukan kepada dua sebab, iaitu pertama, ahli Parlimen berkenaan sudah menandatangani perjanjian bahawa sekiranya ingkar kepada keputusan parti, secara sukarelanya dia akan melepaskan keahlian dalam parti Umno dan Barisan Nasional (BN).

Manakala, sebab kedua, katanya, ahli Parlimen itu menandatangani perjanjian yang menetapkan setiap daripada mereka perlu membayar bon bernilai RM100 juta jika ingkar kepada ketetapan parti. – 2 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related