KUALA LUMPUR – Dua individu dipanggil polis hari ini bagi memberi keterangan berhubung dana sumbangan awam yang dikutip seorang aktivis bagi pembiayaan pengurusan kes kematian kanak-kanak berusia 10 tahun, Dea Maisarah.
Kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor pada 9 Julai lalu.
Individu terbabit adalah bapa kepada Dea Maisarah, Bada Hussein serta peguamnya, Hafiz Norkhan yang membuat satu laporan polis berasingan pada 17 dan 27 November lalu.
Menurut Hafiz, laporan polis itu dibuat Bada dan dirinya berdasarkan maklumat diterima bahawa wang kutipan diperoleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai dikendalikan seorang aktivis, dikenali Yuseri Yusoff tidak diterima sepenuhnya.
“Lebih daripada RM53,000 dikumpul dia (Yuseri Yusoff). Kos guaman hanyalah RM20,000. Lagi RM5,000 dia beri kepada ayah Dea Maisarah sebagai sumbangan.
“Jadi, soalan kami adalah ‘mana perginya wang baki sumbangan itu?’
“Kami bukan mendesak polis membuat tangkapan, kami hanya mahu keadilan,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, hari ini
Sementara itu, menurut Bada, Yuseri gagal memaklumkan kepadanya mengenai apa-apa kos lain yang perlu dijelaskan, apabila memperkenalkan dia dengan Hafiz bagi mewakili kes kematian anaknya.
“Minggu lalu, saya membuat satu laporan polis meminta polis menjalankan siasatan terhadap Yuseri, memandangkan dia gagal menjawab semua soalan kami mengenai wang sumbangan dan mula mengelak kami,” katanya.
Susulan itu, Bada membuat dua laporan polis terhadap Yuseri berhubung penyelewengan kutipan sumbangan pengurusan kes kematian anaknya.
Kisah Dea Maisarah mendapat perhatian, selepas tular video di media sosial di mana Bada menceritakan kronologi kematian puteri sulungnya itu.
Menurut Bada, Dea Maisarah yang demam dan selesema, tiba-tiba mengalami sesak nafas dan beliau membawa anaknya ke HTAR serta-merta.
Katanya, Dea Maisarah terpaksa menunggu lebih 40 minit untuk mendapatkan rawatan sebelum kadar oksigennya didapati menurun.
Bada mendakwa berlaku kecuaian di pihak hospital apabila kaki dan tangan anaknya diikat kerana meronta-ronta apabila doktor cuba mengambil darahnya.
Jelasnya, kakitangan hospital pula menyatakan dalam laporan polis bahawa Dea Maisarah sudah meninggal dunia apabila dibawa ke hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pula mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes kematian Dea Maisarah, iaitu dari pihak hospital dan Bada. – Disember 1, 2023