KUALA LUMPUR – Gagal membeli tiket untuk menyaksikan konsert Yoasobi sejak awal pagi tadi, peminat kumpulan duo J-Pop itu meluahkan kekecewaan mereka menerusi platform X, sehingga tanda pagar #YoasoBlinKL menjadi trending.
Kebanyakan mereka mendakwa gagal masuk ke laman web ejen rasmi tiket konsert, Ticketcharge biarpun sudah mencuba selama beberapa jam.
Ada pula yang sudah berjaya masuk ke laman web tersebut tetapi status pembelian mereka tiba-tiba tergendala dan tidak dapat dilengkapkan.
Segelintir peminat berdepan insiden server laman web Ticketcharge tiba-tiba bertukar dari Malaysia ke Singapura.
“Dah sejam lebih tetapi masih tiada apa-apa dari laman tiket @MyTicketCharge. Call tak angkat. Tiket dah sold out (habis terjual) ke dan kenapa server tiba-tiba bertukar dari Malaysia ke Singapura. Kenapa server asyik loading dan apakah langkah untuk mengatasi bots? Tolong bagi penjelasan #YOASOBIinKL,” kata seorang pengguna X.
“Saya terlepas tiket dan kesabaran saya,” kata @DerrickRecca.
“Adakah laman web anda sebenarnya berfungsi? Adakah ia akan ‘loading’ sehingga 2024?” soal @MallyKlik.
“Terima kasih kerana tidak pernah menambah baik perkhidmatan! Jika platform tiket anda tidak dapat mengendalikan setiap acara, sila hantarkannya ke @BookMyShowMy,” sindir @Chocoholic1201.
𝗬𝗢𝗔𝗦𝗢𝗕𝗜 𝗔𝗦𝗜𝗔 𝗧𝗢𝗨𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟯-𝟮𝟬𝟮𝟰 𝗟𝗜𝗩𝗘 𝗜𝗡 𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥
— TicketCharge (@MYTicketCharge) November 28, 2023
MALAYSIA! YOASOBI will be performing in Kuala Lumpur on 14 January 2024 at Zepp Kuala Lumpur for the first time!
General Sale: 01 December 2023 (11AM)
Make sure you grab your tickets! pic.twitter.com/XcXJZxcZ3n
Sehingga ke saat ini, pihak Ticketcharge masih belum memberikan apa-apa kenyataan terhadap isu teknikal yang dialami peminat sewaktu membeli tiket konsert tersebut.
Mungkin ramai yang tidak mengenali siapa Yoasobi tetapi bagi peminat anime, peluang untuk menyaksikan duo ini beraksi dalam konsert jelajah Asia Tenggara mereka di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Januari ini, tidak harus dilepaskan.
Yoasabi dianggotai komposer, Ayase dan penyanyi yang juga pencipta lagu, Ikura (Lilas Ikuta).
Mereka menubuhkan Yoasobi pada 2019 dan mengeluarkan single Yoru ni Kakeru pada tahun sama.
Single mereka menjadi hit dan tular di Jepun mahupun luar negara.
Yoasobi kemudian muncul untuk menyanyikan lagu tema pembukaan dan penutup untuk musim dua siri anime, Beastars.
Mereka turut membawakan lagu tema Shukufuku untuk anime Mobile Suit Gundam: The Witch From Mercury.
Duo ini sekali muncul dengan lagu hit, Idol untuk anime Oshi no Ko pada tahun ini.
Lagu tersebut berjaya memecahkan rekod di Jepun dan juga luar negara.
Ketika ini, duo tersebut sedang mempersembahkan lagu tema, Yusha untuk anime Frieren: Beyond Journey’s End yang sedang bersiaran.
Selepas Malaysia, Yoasobi bakal menjayakan konsert mereka di Singapura pada 11 Januari 2024 manakala di Indonesia, lima hari kemudian (16 Januari). – 1 Disember, 2023