Yasin mahu mohon perkenan Sultan Selangor untuk dibebaskan dari Hospital Bahagia

"Insya-Allah saya akan kembali (dalam industri hiburan). Saya menulis banyak lagu dan Insya-Allah, saya akan menghasilkan lagu seperti biasa, apabila saya kembali."

8:06 PM MYT

 

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bercadang memohon perkenan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dibebaskan daripada kemudahan kesihatan mental, tempat dia sedang menerima rawatan selepas dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Sambil berterima kasih dengan keputusan mahkamah, Yasin berkata, beliau akan kembali ke Hospital Bahagia untuk meneruskan rawatan bagi penyakit bipolarnya dan akan tinggal di sana atas perkenan Sultan Selangor.

“Bagaimanapun, saya (mungkin) membuat permohonan agar Sultan membenarkan saya pulang ke rumah saya di Kajang dan Kota Damansara.

“Insya-Allah saya akan kembali (dalam industri hiburan). Saya menulis banyak lagu dan Insya-Allah, saya akan menghasilkan lagu seperti biasa, apabila saya kembali,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah di sini, hari ini.

Yasin, 48, dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan memiliki, menanam dan memberikan dirinya dadah awal hari ini, walaupun mahkamah bersetuju penyanyi itu memang melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen, Faiz Dziyauddin juga menerima bahawa Yasin tidak berada dalam keadaan mental yang waras pada masa kesalahan itu dan tidak menyedari tindakannya melanggar undang-undang.

Mahkamah juga memutuskan untuk menempatkan Yasin dalam jagaan Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak, atas perkenan Sultan Selangor mengikut Seksyen 438(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen itu menyatakan bahawa Sultan boleh memerintahkan orang yang dibebaskan untuk dikurung di hospital psikiatri atas keredaan baginda.

Yasin mengakui berdebar dengan keputusan mahkamah yang sebenarnya “50-50”.

“Saya gementar tetapi saya banyak berdoa, dan Alhamdulillah… 20 bulan berjuang untuk kes saya, hari ini (prosiding) berakhir dengan baik,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada keluarga dan pasukan pembela atas sokongan mereka sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Dan saya berterima kasih kepada mereka yang menyumbang kepada crowdfund untuk dana bantuan guaman saya (pada permulaan kes), serta orang ramai dan peminat yang mendoakan saya selama ini,” katanya.

Selain ahli keluarga, komposer terkenal, Datuk Freddie Fernandez turut hadir di mahkamah hari ini sebagai solidariti kepada Yasin.

Abang Yasin, Zain Sulaiman, mewakili keluarga menzahirkan rasa syukur kepada keputusan mahkamah yang memihak kepada penyanyi terbabit.

“Kami menunggu keputusan ini untuk sekian lama… kami tidur tak lena seminggu yang lalu, menunggu keputusan ini. Dan keputusan hari ini membuatkan kami sangat gembira.

“Kami bersyukur dia dihantar ke Hospital Bahagia. Ia tidak menjadi masalah, walaupun ia terletak jauh sedikit dari kami.

“Tetapi kami yakin dia akan mendapat rawatan yang sempurna untuk penyakit bipolarnya, dan itu sahaja yang penting,” kata Zain. – 29 November, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related