Cuepacs bantah cadangan tubuh jawatankuasa pemerhati pantau kecenderungan politik penjawat awam

Tindakan itu disifatkannya hanya merugikan sumber perkhidmatan awam

6:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam dan menyifatkannya hanya merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat menegaskan penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara, justeru sudah tentu setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing.

“Namun Cuepacs memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.

“Bagaimanapun dalam konteks demokrasi, penjawat awam berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuklah ketika membuang undi pada pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.

“Cuepacs ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.

“Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu menjadi kerajaan pada hari ini.

“(Jadi) Apabila sudah menjadi kerajaan sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik berbeza.

Ini kerana katanya, daripada sudut penjawat awam sememangnya harus mendukung aspirasi kerajaan yang memerintah, namun sebagai individu, penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih.

“Langkah yang dicadangkan ini juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain daripada memantau kecenderungan politik penjawat awam.

“Apatah lagi penubuhan jawatankuasa tersebut menggunakan sumber sedia ada kerajaan dan perkhidmatan awam.

“Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara,” katanya.

Selain itu, Adnan turut menegur semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing.

Sebaliknya, beliau menggesa ahli politik supaya bersama-sama dengan penjawat awam dalam membangunkan negara agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat. – 27 November, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related