KUALA LUMPUR — Kualiti, taraf hidup dan keselesaan adalah aspek penting yang perlu diberikan perhatian bagi membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah menjalani kehidupan dengan selesa.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R.Ramanan, apa yang penting ialah keperluan penduduk tersebut tidak terbatas kepada pembinaan fasiliti semata-mata sebaliknya infrastruktur yang berfungsi juga perlu diberikan perhatian.
Jelasnya, projek penggantian bumbung, pendawaian, penurapan jalan dan pembinaan parkir adalah langkah penting bagi memastikan suasana di kawasan pangsapuri kos rendah lebih ceria.
“Saya bersama pasukan Parlimen Sungai Buloh telah melawat pangsapuri di Subang Bestari Seksyen U5, Shah Alam baru baru ini dan mendapati keadaannya mengejutkan.
“Cat bangunan sudah lusuh dan penduduk di tingkat atas mengadu bumbung bocor, air memasuki rumah serta amat menyukarkan kehidupan mereka,’’ katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas perkara berkenaan, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kontraktor yang telah diberikan tugas untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan pangsapuri kos rendah telah diberi Defect Liability Period (DLP) selama setahun.
“Jika (kerosakan) berulang dalam tempoh itu, kontraktor perlu baiki keadaan yang terkesan itu mengikut tempoh masa yang diberikan. Malah menerusi peruntukan yang disalurkan, pembaikan berkenaan perlu disiapkan dalam tempoh belanjawan pada tahun berkenaan,’’ katanya. – 27 November, 2023