Hendrawan tinggalkan Malaysia sebelum Sukan Olimpik Paris?

‘Tekanan kerja’ didakwa antara punca pengendali berusia 51 tahun itu mahu menamatkan kontraknya yang berakhir selepas temasya Paris 2024 lebih awal

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketika Sukan Olimpik Paris tinggal kurang setahun untuk membuka tirai, spekulasi bertiup kencang mengaitkan jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

‘Tekanan kerja’ didakwa antara punca pengendali berusia 51 tahun itu mahu menamatkan kontraknya yang berakhir selepas temasya Paris 2024 lebih awal.

Jika benar Hendrawan meletakkan jawatan dalam masa terdekat, dia akan menjadi jurulatih keempat meninggalkan BAM tahun ini selepas Wong Choong Hann (Jun), Datuk Misbun Sidek (Julai) dan Lee Meng Yean, Jumaat lalu.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini ada perubahan berlaku dalam struktur kejurulatihan badminton kebangsaan, dan Hendrawan dilihat sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dan nampak tertekan.

“Semua orang tahu, PBSI (Persatuan Badminton Indonesia) sudah beberapa kali cuba membawanya kembali ke pangkuan mereka tetapi Hendrawan sering menolak kerana mahu menunggu Olimpik Paris tamat.

“Bagaimanapun melihat situasi semasa, ramai yang tidak terkejut jika dia mengambil keputusan berundur lebih awal, mungkin dalam beberapa bulan terdekat,” kata sumber BAM kepada Scoop.

Pemergian Hendrawan akan menjadi tamparan hebat buat skuad kebangsaan, terutama kepada pemain No. 14 dunia, Ng Tze Yong yang dalam proses melayakkan diri ke Olimpik 2024.

Pada 2019, PBSI pernah mengemukakan tawaran kepada Hendrawan untuk kembali ke pangkuan mereka, namun telah ditolak.

Hujung tahun lalu, juara dunia 2001 itu ada menyuarakan keinginan untuk kembali ke negara kelahirannya, namun menegaskan hanya akan pergi selepas tamat Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

Antara pencapaian terbaik Hendrawan sejak menyertai BAM pada Julai 2009 adalah peranannya memulihkan Datuk Lee Chong Wei daripada penggantungan lapan bulan akibat doping (Mei 2015).

Di bawah bimbingan Hendrawan, Chong Wei bukan sahaja merangkul pingat perak ketiga pada Sukan Olimpik Rio 2016, malah kembali ke ranking pertama dunia pada Jun 2016 hanya dalam tempoh singkat 13 bulan selepas bermula dari awal.

Sementara itu, menurut seorang lagi sumber BAM, seandainya Hendrawan benar-benar meninggalkan BAM dalam masa terdekat, jurulatih berpengalaman, Datuk Tey Seu Bock mungkin akan dibawa masuk untuk membimbing Tze Yong dalam persiapan ke Olimpik Paris.

Ketika ini, Seu Bock lebih banyak mengendalikan pemain muda seperti Justin Hoh, manakala Hendrawan lebih fokus kepada Tze Yong. – 26 November, 2023

Topics

 

Popular

Closure of Bandar Sri Damansara post office worries local community – Ravindran Raman Kutty

BANDAR Sri Damansara is a unique township that is equipped with almost every amenity, including a dynamic post office. We, through the resident’s association, managed to secure this post office in the late 1990s, and our residents have been enjoying the services to date. 

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Related