PETALING JAYA – Penyanyi, Hafiz Suip terpaksa akur dengan ‘trend’ semasa menggunakan elemen gimik sebagai salah satu cara untuk mempromosikan lagu barunya.
Menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, disebabkan itulah dia membuat keputusan untuk mewarnakan rambutnya dengan warna hijau baru-baru ini supaya orang ramai menyedari kemunculan lagu barunya.
“Saya perlu lakukan sesuatu supaya orang beri perhatian pada karya baru saya. Saya rasa tidak salah kerana ini adalah salah satu cara untuk memasarkan lagu saya.
“Terbukti dengan cara sebegini, ramai yang beri perhatian. Biarpun pelbagai reaksi yang saya terima. Ada yang mempersoalkan penghijrahan saya ke arah Islamik sebelum ini.
“Tetapi sebagai seorang penyanyi, saya juga akur dengan perkembangan semasa dunia seni. Orang ramai tertarik dengan benda sensasi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbarunya yang berjudul Terus Bersinar.
Jelas juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini lagi, dia sedar kesan yang akan diterimanya seperti menjadi bahan kecaman netizen, tetapi harus mengambil risiko demi kekal relevan.
“Saya sedar kalau ikut dari segi hukum memang salah (mewarnakan rambut). Tetapi kita bercakap mengenai dunia hiburan.
“Melainkan kita duduk di dalam masjid, barulah kita bercakap soal agama, hukum hakam dan sebagainya.
“Saya dilahirkan sebagai seorang penghibur. Inilah cara saya untuk raih publisiti bagi produk baru saya,” katanya.

Namun, kata penyandang anugerah vokal terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak empat kali itu, rambut hijau itu hanya bertahan selama empat hari sahaja sebelum dia kembali membotakkan kepala.
“Selepas saya warnakan rambut, saya beritahu penata gaya yang saya risau dengan kecaman netizen. Tapi dia kata, kadang-kadang kecaman itu antara teknik pemasaran.
“Selepas saya keluar dari salon itu, saya pakai topi kerana rasa tak sedap hati. Keesokan harinya apabila saya pergi kerja, pekerja saya kata teruskan sahaja alang-alang nak keluar lagu baharu lagi beberapa hari.
“Itu yang saya terus buat sesi fotografi dan kongsi gambar berambut hijau di Instagram,” katanya.
Menyedari ada yang kurang senang dengan gimik itu, Hafiz bagaimanapun memohon maaf di atas tindakan tersebut.
Bercakap mengenai lagu terbarunya, Terus Bersinar, kata Hafiz dia tertarik dengan melodi serta lagu itu yang menyentuh perasaannya sebagai seorang bapa.
“Selepas saya dapat lagu ini, saya terfikir apa lagi yang saya mahu lakukan? Seperti yang semua tahu sebelum ini lagu-lagu saya mempunyai penceritaan tersendiri.
“Saya dah pernah buat lagu mengenai kekasih dan ibu bapa. Jadi kali ini saya mahu bercerita mengenai anak pula.
“Sebab itu saya menjadikan kisah anak dan ibu bapa sebagai jalan cerita video muzik lagu ini. Dan, buat pertama kalinya saya arahkan sendiri video muzik ini,” katanya.
Lagu Terus Bersinar dicipta Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala liriknya ditulis Datuk Arisz Ab Rahman JP.
Menariknya lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema drama Surat Dari Tuhan yang ditayangkan di TV3. – 21 November, 2023