Pendirian tegas Anwar berhubung isu Gaza di Apec 2023 dapat pujian

Anwar dalam ucapannya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-30 mengecam perang yang berterusan dan menegaskan lebih ramai penduduk Palestin akan terkorban selagi gencatan senjata tidak dilaksanakan

4:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pujian kerana tidak berselindung mengecam kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin, di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Aktivis profilik, Dr Omar Suleiman antara pengguna platform X yang dulunya dikenali sebagai Twitter, yang tidak melepaskan peluang untuk memuji pendirian tegas Anwar itu.

“Saya berterima kasih kepada sahabat saya (Anwar) di atas pendirian tegas dan berani berkonfrontasi secara peribadi dengan Joe Biden atas kepura-puraannya di tengah-tengah pembunuhan besar-besaran di Gaza.

“Kita memerlukan lebih ramai pemimpin untuk mengikut contoh ini walaupun mengetahui akibatnya,’’ kata pengasas dan presiden Institut Penyelidikan Islam Yaqeen.

Dalam pada itu, pengguna X dan penganalisis politik Ahmad Faruqui berkata, Anwar, menerusi ucapannya, telah menyatakan apa yang perlu diperkatakan dan beliau mengagumi Perdana Menteri ke-10 itu, lebih-lebih lagi nilai kemanusiaannya.

Anwar dalam ucapannya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-30 mengecam perang yang berterusan dan menegaskan lebih ramai penduduk Palestin akan terkorban selagi gencatan senjata tidak dilaksanakan.

Mesej beliau di setiap platform di sini adalah mudah dan jelas – pembunuhan dan kekejaman di Gaza perlu dihentikan dan tidak ada pilihan lain lagi.

“Kita diminta mengecam pendudukan di Ukraine. Namun ada yang berdiam terhadap kekejaman di Palestin, khususnya,” kata Anwar dalam ucapannya.

Beliau turut menegaskan bahawa Biden, yang mempengerusikan Kaukus Hubungan Luar Senat antara 2001 hingga 2009, telah mengecam pendakwaan jenayah ke atasnya ketika beliau masih berkhidmat.

“Ia (kecaman) adalah berasaskan kepada prinsip keadilan dan hak kemanusiaan.

“Itu yang kita semua lakukan. Hentikan pembunuhan ke atas wanita dan kanak-kanak, sekarang!

“Kerana setiap hari (yang berlalu) bermakna lebih ramai bayi akan terbunuh. Saya menyatakannya kerana ia penting dalam Apec untuk memahami dan bekerjasama,” katanya.

Anwar yang menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-30 turut mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Apec dan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Superpower rivalry and rising tensions in the Asia-Pacific: The view from Southeast Asia’ di University of California, Berkeley.

Katanya Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital, di samping kekejaman terhadap wanita dan kanak-kanak, melibatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah, dilakukan siang dan malam di Gaza.

Angka kematian dalam krisis yang berterusan sejak 7 Oktober lepas kini meningkat kepada kira-kira 12,000. – 19 November, 2023

Topics

 

Hangat

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

EPF 2024 dividend rate in 6%-6.2% range expected: analyst

Fund had diversified investments amidst a resilient global economy and other favourable conditions last year, may face a challenging 2025 due to global political and economic uncertainties

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related