KUALA LUMPUR – Selepas lima hari menerima lamaran kekasihnya, Nik Iruwan Nik Izani, penyanyi Nabila Razali bakal melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan itu.
Difahamkan, Nabila dan bakal suaminya akan diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup di Pahang, hari ini.
“Ya, Nabila bakal bernikah esok pagi (hari ini) di Pahang. Ini detik yang membahagiakan buat pasangan ini,” kata sumber seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu, pasangan itu dikatakan sudah mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu, namun Nabila memilih untuk tidak memberi sebarang komen mengenainya.
Bahkan dia turut meminta netizen supaya menghormati privasinya.
Penyanyi lagu Peluang Kedua itu bagaimanapun membuat kejutan apabila berkongsi detik bahagia dilamar Nik Iruwan dalam suasana romantis di Instagramnya pada 13 September lalu. – 18 November, 2023