KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Coldplay: Music Of The Spheres, Live Nation Malaysia mengingatkan penonton acara itu supaya tidak mencetuskan masalah dan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada orang ramai.
Peringatan itu dikeluarkan di platform media sosial rasmi Live Nation sempena konsert yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jali, Rabu depan.
“Sila ambil perhatian mengenai budaya dan sensitiviti tempatan di Malaysia, elakkan daripada memaparkan prop atau barang yang menyebabkan ketidakselesaan kepada orang lain. Mari kekalkan tumpuan pada muzik dan keseronokan bersama pada malam itu nanti,” kata kenyataan tersebut.
Live Nation juga menasihati orang ramai supaya tidak menunggu artis itu di dalam dan luar lokasi konsert kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada pihak terbabit, malah boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku.
“Artis, penganjur dan penyedia lokasi tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau insiden.
“Sekiranya terjadi sebarang kejadian buruk, individu yang terbabit tidak akan dibenarkan masuk ke dalam stadium dan akan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Coldplay akan membuat persembahan di konsert pertama mereka di Malaysia pada 22 November ini.
Tiket konsert itu yang dijual pada Mei lalu, habis dijual dalam masa kurang dari empat jam. – 16 November 2023