KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Isnin ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan, setakat ini empat laporan polis diterima berhubung isu terbabit.
“Siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Keterangan Dr Siti Mastura akan diambil pada 13 November 2023 (Isnin),” katanya memetik laporan BH.
Terdahulu, melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada satu majlis di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Siti Mastura dalam rakaman itu juga mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang, selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beliau turut mendakwa, pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agungnya dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan parti itu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham serta Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid kelmarin, tampil membuat satu laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini.
Semalam, Guan Eng memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura kerana membuat kenyataan palsu mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan Chin Peng.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang jenayah terhadap Siti Mastura. – 11 November, 2023