KUALA LUMPUR – Bersempena cuti Deepavali, Suruhanjaya Tenaga (ST) meminta orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas, bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Menerusi kenyataannya, ST berkata, mereka boleh mengamalkan tip keselamatan dikeluarkan pihaknya, termasuk memastikan pendawaian elektrik di rumah sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Pastikan pendawaian elektrik di rumah selamat melalui tindakan menguji Peranti Arus Baki (PAB) (di kotak fius utama rumah) dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan. Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta.
“Dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk menggantikan PAB sekiranya PAB tidak berfungsi,” katanya.

Kenyataan itu berkata, bagi memastikan pendawaian elektrik di rumah selamat, mereka juga perlu memastikan wayar kelengkapan elektrik tidak koyak atau terdedah sebelum digunakan.
“Guna kelengkapan elektrik dan lampu hiasan dengan label keselamatan ST-SIRIM, selain menanganinya dalam keadaan kering semasa mengguna kelengkapan elektrik.
“Suis dan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan di rumah, mesti dimatikan sekiranya anda pulang ke kampung atau bercuti,” katanya.
Pada masa sama, mereka perlu mengelak daripada soket digunakan secara ‘terbeban’, iaitu menggunakan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban tinggi.
“Elak menggantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik.
“Elak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas,” katanya.
ST berkata, bagi mengutamakan keselamatan gas pula, orang ramai perlu memastikan dapur gas memasak berada dalam keadaan selamat.
“Guna perkakas dapur gas yang mempunyai label keselamatan ST-SIRIM dan peka dengan kewujudan bau kebocoran gas di kawasan dapur memasak.
“Adakan bukaan pengudaraan secukupnya di kawasan dapur memasak dengan membuka tingkap atau pintu ketika memasak,” katanya.
Menurutnya, sekiranya mengesan bau gas, mereka perlu mengambil beberapa langkah, iaitu membuka tingkap atau pintu untuk menggalakkan pengudaraan di kawasan berkenaan.
“Jangan buka atau tutup suis di kawasan terbabit dan jangan membawa peralatan atau kelengkapan yang boleh mencetuskan penyalaan atau ‘spark’ berhampiran di kawasan dapur memasak.
“Cari kebocoran gas dengan menggunakan Alat Pengesan Kebocoran Gas atau buih sabun dan baiki segera,” katanya.
Selain itu, ST mengingatkan supaya tidak meninggalkan dapur gas memasak ketika digunakan tanpa pengawasan sepenuhnya.
“Dapatkan perkhidmatan kontraktor gas berdaftar dengan ST untuk sebarang kerja pembaikan gas berpaip di rumah.
“Pastikan injap silinder gas ditutup sekiranya anda pulang ke kampung atau bercuti,” katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi talian 03-8870 8500. – 11 November, 2023