PETALING JAYA – Anak saudara penyanyi terkenal, Stacy Anam, iaitu Thamiera Chan kini diumumkan sebagai ahli terbaru kumpulan The Gadys.
The Gadys yang asalnya dianggotai empat gadis tinggal bertiga selepas seorang daripadanya, Nelissa Nizam meninggalkan kumpulan itu kerana sibuk dengan kerjaya lakonan.
Menurut Thamiera, dia terpilih menyertai The Gadys selepas menghadiri sesi uji bakat kumpulan terbabit secara tertutup.
“Ya saya adalah anak saudara kepada Stacy. Ibu saya adalah kakak sulung Stacy.
“Dulu saya adalah ahli kumpulan Nona. Tetapi kumpulan itu dibubarkan kerana ada beberapa ahlinya bertugas sebagai pramugari.
“Saya masih mahu menyanyi. Sebab itu saya sertai uji bakat menyertai kumpulan The Gadys,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran lagu kumpulan berkenaan, Gagal Cinta.
Kongsinya, dia tidak akan sekali-kali menumpang populariti Stacy, namun tidak dapat lari andai netizen terus mengaitkan mereka berdua.
“Saya tak dapat nak elak kerana dia adalah ibu saudara saya sendiri.
“Saya bersyukur kerana Stacy banyak mengajar saya mengenai nyanyian dan dunia seni. Malah, dia yang mengajak saya menyertai kumpulan Nona,” jelasnya.
Ditanya adakah dia gentar jika dibandingkan dengan Nelissa, kata gadis berusia 20 tahun itu, dia sudah bersedia menerima maklum balas peminat.
“Saya sudah bersedia. Saya tak boleh halang mereka (peminat) daripada berkata-kata. Pada saya masing-masing ada kelebihan,” ujarnya.
Kumpulan turut dianggotai Aznie Azmi dan Ayunie Rizal itu, muncul dengan single terbaru berjudul Gagal Cinta yang bergenre pop. – 10 November, 2023