KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin mencadangkan supaya Langkawi diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan persetujuan, bagi memastikan pusat pelancongan itu lebih maju dan meriah.
Beliau berkata, daerah turut dikenali sebagai “permata Kedah” itu boleh dijadikan sebagai wilayah keempat, selepas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Saya ada satu syor di sini, mungkin ada sikit pertikaian tapi saya rasa kita perlu letakkan Langkawi terus di bawah pentadbiran Putrajaya, kita masukkan Langkawi sebagai wilayah keempat selepas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kalau kerajaan persekutuan boleh ambil alih pentadbiran, saya rasa Langkawi kita akan terus boleh majukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini ketika membahaskan mengenai situasi terkini Langkawi yang didakwa semakin tidak menerima sambutan pelancong.
Pada perbahasan itu, Zhemin membacakan laporan dua agensi berita berhubung Langkawi didakwa akan menjadi ‘pekan hantu’ jika kemasukan pelancong terus merosot, selain kedai makan terpaksa ditutup dan kereta sewa dilelong akibat tidak menerima sambutan, seperti dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir.
Malah, pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sempena Deepavali hanya 10 peratus hotel di Langkawi ditempah, walaupun sepatutnya sebagai destinasi pelancongan, daerah berkenaan menerima kemasukan pelancong yang paling tinggi dan menarik
“Adakah ini disebabkan polisi kerajaan negeri yang ekstrim yang tidak mesra pelancong, jadi sampai hari ini kerajaan negeri tidak ada apa-apa cara untuk bawa pelancongan,” katanya.
Sesi itu kemudian dicelah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang meminta komen lanjutnya mengenai situasi terbabit yang merugikan penduduk di Langkawi.
Ujarnya, ia termasuk pemandu teksi, pekerja hotel dan peniaga susulan risiko hilang pekerjaan serta pendapatan.
Menjawab kenyataan Rayer, Zhemin berkata, beliau bersetuju kerana apabila pelancong tidak datang, pelancongan akan terjejas dan merugikan penduduk Langkawi.
“Ya memang pelancong tak datang, yang rugi tu orang tempatan, termasuk orang Langkawi, ini semua akan merugikan orang tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, penjelasan itu menyebabkan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menyuarakan soalan apakah fungsi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta dan agensi pelancongan dalam menggalakkan pelancongan Langkawi.
“Tadi YB (Yang Berhormat) (Zhemin) mengatakan seolah-olah Langkawi ini hanya di Kedah semata-mata, memang di bawah Kedah tapi apa fungsinya kementerian (pelancongan) yang ada dan sebagainya,” katanya.
Memberi respon kepada perkara itu, Zhemin berkata, walaupun Motac sememangnya memainkan fungsi dalam aspek pelancongan di negara ini, termasuk di Langkawi, peranan kerajaan negeri lebih besar.
“Sampai hari ini kerajaan negeri tak ada apa-apa cara untuk nak naikkan pelancongan di Langkawi,” katanya. – 8 November, 2023