GUA MUSANG – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mengadakan mesyuarat bersama pihak berkepentingan dalam tempoh dua minggu lagi untuk membincangkan dan meneliti secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat yang dijadual diadakan di Putrajaya itu melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta kerajaan Kelantan.
“Saya tahu ketika ini ia (KSAS) masih dalam proses bantahan atau pendengaran awam dan ramai pihak di Kelantan juga telah menyatakan pendirian mereka.
“Oleh itu, kita akan lihat dari segi kerangka perundangan apa yang kita boleh buat di peringkat kerajaan Persekutuan dengan mengadakan mesyuarat bersama agensi terlibat dalam masa dua minggu lagi di Putrajaya untuk meneliti isu tersebut secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Alam Sekitar Negara 2023 di Pusat Komuniti Orang Asli Rancangan Penempatan Semula (RPS) Sungai Betis di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JAS Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin.
Nik Nazmi berkata pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbincang dengan lebih lanjut dengan kerajaan Kelantan berhubung cadangan pengubahsuaian itu.
“Kita akan lihat dari aspek kawasan hutan dan kawasan sensitif alam sekitar kerana apabila banyak kawasan hutan terjejas, maka habitat hidupan liar ini terancam untuk cari jalan nak keluar dan sebagainya.
“Pastinya ia akan memberi kesan kepada masyarakat yang tinggal berhampiran termasuk masyarakat Orang Asli, jadi itu antara sebab kita melihat keperluan pelan jangka masa panjang macam mana nak pelihara Central Forest Spine (CFS),” katanya.
Baru-baru ini, Nik Nazmi berkata kerajaan bercadang menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS di negeri itu diteruskan.
Beliau berkata pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.
Pada 29 Oktober lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan masih pada peringkat program pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) yang bermula 11 Oktober hingga 11 November ini. – 5 November, 2023