KUALA LUMPUR – Usahawan dan bintang realiti, Keeping Up with the Kardashians, Kourtney Kardashian selamat melahirkan cahaya mata lelaki hasil perkongsian hidup dengan pemain dram Blink 182, Travis Barker yang dikahwininya tahun lalu.
Berita gembira itu dilaporkan majalah People semalam yang memetik sumber rapat kepada pasangan selebriti tersebut.

Kourtney, 44, dan Travis, 47, memilih untuk menamakan anak mereka sebagai, Rocky Thirteen.
Travis sebelum ini mendedahkan inspirasi di sebalik nama tersebut melalui satu video wawancara pada Julai lalu.
Kata Travis, Rocky George bermain untuk Suicidal Tendencies dan 13 pula adalah nombor yang cukup hebat.
Dia juga memberitahu bahawa nama itu juga tercetus daripada filem Rocky dibintangi aktor legenda, Sylvester Stallone dan menyifatkan ia sebagai filem tinju hebat sepanjang zaman.
Malah, nama itu juga difahamkan mempunyai kaitan dengan kakaknya.
Kourtney yang juga kakak kepada Kim Kardashian berusaha untuk mendapatkan zuriat pertamanya dengan Travis melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF).
Pada June lalu, Kourtney mengumumkan berita kehamilannya di konsert Blink 182 dan mereka dijangkakan menimang bayi lelaki.

Namun, pada September, Kourtney dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan segara, bagi menyelamatkan nyawa bayi itu.
Kourtney melalui media sosialnya memberitahu, dia bersyukur kerana Travis sentiasa ada bersamanya untuk membantu dalam usaha menyelamatkan bayi mereka.
Dengan kelahiran Rocky Thirteen, bermakna keluarga mereka kini bertambah daripada enam kepada tujuh orang.
Kourtney sebelum ini memiliki tiga cahaya mata hasil hubungannya dengan Scott Disick iaitu Mason, 13, Penelope, 11 dan Reign, 8.
Manakala Travis pula memiliki anak lelaki, London, 20, dan anak perempuan, Alabama bersama bekas isterinya, Shanna Moakler yang dikahwininya dari 2004 hingga 2008.
Travis juga adalah bapa tiri kepada anak sulung Shanna, Atiana, 24, yang mana bapa kandungnya adalah Oscar De La Hoya. – 5 November, 2023