KUALA LUMPUR – Ancaman negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah terhadap kelantangan Malaysia dalam mempertahankan perjuangan rakyat Palestin daripada kezaliman tentera Israel, disifatkan hanya tekanan diplomatik.
Pakar Geostrategi, Profesor Azmi Hassan berkata, tekanan itu tidak akan membawa kesan negatif kepada negara dari segi hubungan antarabangsa dan perdagangan.
Malah, Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research itu berkata, majoriti masyarakat antarabangsa melihat tindakan rejim Israel berkenaan melampaui batas kemanusiaan dan turut mengecamnya.

“Memang Malaysia terutama sekali Perdana Menteri akan tampil ke hadapan dalam menyatakan sokongan kepada Palestin, malah berhubung terus dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh secara terbuka.
“Kita tidak perlu bimbang mengenai kesan negatif (sokongan ini) kerana kita lihat AS atau Kesatuan Eropah (EU) juga berbelah bahagi untuk pro Israel atau pro Palestin.
“Jadi untuk mengambil tindakan terhadap negara pro Palestin tidak memadai jika negara yang menerima tekanan itu, memberitahu kepada dunia bahawa tindakan terbabit dikenakan negara kuasa besar kepada mereka hanya disebabkan sokongan pro Palestin.
“Ini hanya tekanan diplomatik, tidak membawa kesan negatif kepada negara kita kerana walaupun kita negara kecil, dari segi geopolitiknya tidak bergantung sangat kepada kuasa besar yang nampak secara zahirnya, begitu pro Israel ketika ini,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan pihak tertentu terhadap keselamatan Malaysia apabila beberapa pemimpin dan negara yang memihak kepada Israel, memberi amaran kepada Perdana Menteri supaya tidak menyokong Palestin secara terbuka.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia menerima tata tindak (demarches) daripada Kedutaan AS yang menggesa negara ini, menarik balik pendirian dalam konflik Palestin-Israel.
Perdana Menteri berkata, tata tindak itu dikeluarkan pada 13, 18 dan 30 Oktober kepada Kementerian Luar.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, hakikatnya mereka yang menyokong secara terbuka tindakan kezaliman Israel atas alasan kononnya menentang keganasan, hanya dua atau tiga pemimpin dunia.
“Tetapi ada juga pemimpin dunia tidak mahu menyatakan sokongan secara terbuka kepada Israel kerana rakyat mereka sendiri, menentang apa yang Israel lakukan.
“Malah di AS, tekanan daripada dalaman, terutama rakyatnya begitu kuat supaya Joe Biden dan ahli kongres umpamanya, membuat keputusan betul dalam hal ini, memandangkan rakyat AS daripada keturunan Yahudi sendiri menyatakan apa dilakukan Israel melampaui batas kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Antarabangsa dan Anti-Keganasan Universiti Malaya (UM), Dr Balakrishnan RK Suppiah berkata, Malaysia tidak perlu takut dalam menyatakan pendirian, malah tindakan menentang jenayah perang bukan satu kesalahan.
Katanya, Malaysia memiliki banyak negara sahabat di Eropah dan rantau Asia yang majoritinya turut menyokong serta bersama-sama dalam perjuangan bagi mempertahankan penduduk Palestin.
Justeru, tegasnya, Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan ancaman diterima daripada negara kuasa besar tertentu, termasuk dalam soal perdagangan memandangkan selain AS dan Eropah, China adalah antara negara dagangan utama negara ini.
“Tidak pernah ekonomi kita diserang kerana pertahan Palestin, kita anti jenayah perang, jadi tak salah nyatakan pendirian.
“Maka, tidak perlu mengurangkan nada ketegasan kita berhubung pendirian menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – 5 November, 2023