Buli: Keluarga pelajar kecewa pelaku dirotan, ‘adakah kerana anak orang kenamaan, tolong pertimbang semula hukuman’

Pelajar senior terbabit dikatakan masih meneruskan persekolahan dan hanya dikenakan hukuman rotan dua hingga tiga kali sebatan serta melakukan kerja amal

8:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keluarga pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah berasrama penuh di Perak meluahkan kekecewaan selepas pihak pengurusan institusi pendidikan itu, tidak mengambil tindakan tegas terhadap beberapa senior yang membulinya.

Menerusi ciapan seorang pengguna X, dahulunya dikenali sebagai Twitter, yang mendakwa rakan kepada kakak mangsa, pelajar senior terbabit masih meneruskan persekolahan seperti biasa dan hanya dikenakan hukuman rotan dua hingga tiga kali sebatan serta melakukan kerja amal.

Pengguna terbabit turut memuat naik surat daripada ibu bapa pelajar itu yang mahu pihak sekolah mempertimbangkan semula hukuman berkenaan kerana ia dianggap tidak setimpal dengan tindakan buli dilakukan mereka.

“Semasa mesyuarat pada 20 Oktober lalu, pihak sekolah bersama ibu bapa pelaku-pelaku dan mangsa, selain pihak polis serta wakil Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan tidak akan berkompromi dalam kes buli di sekolah, malah menegaskan ‘you touch, you go!’ (anda buat, anda terima akibat).

“Namun, hukuman dikenakan tuan (pengetua sekolah), seolah-olah meremehkan usaha kerajaan dan KPM dalam perkara ini.

“Hukuman dikenakan tuan memberikan mesej salah kepada pelajar lain bahawa buli sekiranya berulang lagi tidak akan disusuli dengan sebarang hukuman serius, selain aku janji berkelakuan baik, rotan dua hingga tiga kali dan membuat kerja amal di sekolah,” menurut surat itu.

Tambah surat itu, kejadian buli turut berlaku tahun lalu ketika pelajar di Tingkatan Tiga dibuli pelajar Tingkatan 5 yang mana pelaku digantung sekolah selama dua minggu.

“Kecederaan dialami mangsa pada masa itu adalah tidak seteruk kecederaan manga kes ini, namun kali ini hukumannya jauh lebih ringan, malah jawatan pelaku sebagai pemimpin pelajar juga tidak dilucutkan.

“Ibu bapa dan penjaga merasa bingung atas hukuman tidak munasabah dikenakan. Adakah kerana pelaku dalam kes kali ini membabitkan anak orang kenamaan (VIP), pemimpin pelajar dan sebagainya?” katanya.

Selain itu, ibu bapa mangsa memohon maklum balas dan pertimbangan pihak sekolah supaya membuat penilaian semula berhubung hukuman terhadap kesemua pelaku.

“Hukuman yang dianggap setimpal kepada pelaku dan sebagai iktibar kepada pelajar lain adalah supaya pelaku dibuang sekolah serta-merta.

“Hukuman selain itu seolah-olah tuan menghalalkan kejadian yang berlaku. Kami ingatkan bahawa sebarang pengabaian atau penangguhan maklum balas kepada permohonan ini, boleh mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap tuan dan pihak sekolah,” katanya.

Pada 24 September lalu, seorang pelajar dari sekolah berkenaan mengalami kecederaan selepas dibuli beberapa pelajar senior.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian buli itu dibuat pihak hospital, selepas mangsa dihantar pihak sekolah ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sabit kesalahan, katanya, pelaku boleh dikenakan penjara selama tempoh setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya. – 4 November, 2023

Topics

 

Hangat

Cyberbullying: timely intervention wise as cases on the rise

As social media becomes increasingly popular, criminology expert notes its ‘dark side’ which exposes people to several crimes and vouches for regulation

The North Face bids farewell to Malaysia with 60% clearance sale

Beloved outdoor brand announces closure of its seven retail outlets, leaving fans saddened, with many expressing their feelings on social media

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related