KUALA LUMPUR – Institusi Raja Berpelembagaan memainkan peranan penting sebagai penimpang tara terakhir, ketika negara berdepan krisis.
Menurut khutbah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) hari ini, raja berperlembagaan bukan sekadar pelengkap untuk memenuhi adat negara beraja atau memastikan rakyat bersultan, tetapi peranannya terbukti mempunyai roh dan peranan sebagai penimbang tara terakhir sesuatu konflik.
“Pada waktu negara menghadapi krisis, persengketaan, ancaman dan keadaan ketidaktentuan, ia boleh mewujudkan situasi bencana, malapetaka, darurat, peristiwa perselisihan kaum, wabak penyakit dan persengketaan politik.
“Takhta pemerintahan berperanan sebagai pengimbang, menitahkan kata nasihat yang membantu merungkai kekusutan, selain menzahirkan arah panduan bagi mengatasi kebuntuan.
“Melalui hikmah raja pemerintah, suhu panas konflik dapat diturunkan, keresahan rakyat mampu ditenangkan dan jentera kerajaan berupaya kembali berfungsi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan, integriti adalah unsur paling penting yang mesti diterapkan dalam membentuk sebuah keluarga harmoni, sebelum ia menjadi pegangan kukuh seseorang pada masa depan.
Justeru, katanya, integriti perlu diterapkan sejak awal usia kepada seluruh anggota keluarga.
Ujarnya, integriti yang antaranya merujuk kepada sifat amanah, jujur dan itqan (kesungguhan) melakukan sesuatu tanggungjawab adalah antara cabang iman serta takwa yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
“Pembudayaan nilai integriti dalam kehidupan manusia yang merangkumi penerapan sifat mahmudah (terpuji) dan pencegahan sifat mazmumah (tercela), perlu merujuk kepada teladan seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.
“Baginda menunjukkan teladan sebagai seorang pemimpin, bapa, suami dan sebagainya dengan cara terbaik,” katanya.
Manakala, khutbah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu menyeru umat Islam untuk tidak berlengah dalam melaksanakan kebaikan.
Tegasnya, segelintir manusia gemar memilih sikap berlengah dengan mengatakan ‘nanti dulu’, ‘sekejap lagi’, ‘biarlah dulu’ atau ‘nanti esok’ membawa maksud ingin menunda sesuatu pekerjaan yang baik.
“Sikap suka bertangguh ini mengakibatkan kesan buruk dengan hasilnya sudah pasti tidak sempurna atau terbengkalai.
“Orang yang suka bertangguh sebenarnya mencerminkan sikap tidak menghargai nikmat masa anugerah Allah.
“Masa sangat berharga kerana sedetik berlalu tidak akan berulang kembali dan tidak boleh dijual beli. Manusia yang mensia-siakan waktu adalah golongan kerugian di dunia serta akhirat,” katanya. – 3 November, 2023