KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa kerajaan untuk segera meneruskan projek pembangunan semula Kg Sg Baru, sambil mengulangi dakwaan bahawa majoriti penduduk di enklaf Melayu itu bersetuju ia diteruskan.
Berdasarkan satu video dikongsi kepada Scoop, Johari mengadakan pertemuan dengan beberapa penduduk kawasan terbabit bagi menyatakan sokongannya dengan sebahagian penduduk yang sudah berpindah keluar dari kawasan itu selepas menerima tawaran pampasan oleh pemaju hartanah swasta, Ritzy Gloss Sdn Bhd.
Sumber memberitahu bahawa pertemuan itu diadakan pada 30 Oktober lalu, sehari selepas Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru, memaklumkan bahawa terdapat beberapa pihak pemaju pembangunan menyatakan minat mereka untuk mengambil alih projek daripada Ritzy Gloss.

“Kerajaan tidak perlu memberi lagi sambungan (menangguh projek dimulakan), ia hanya menjejaskan mereka yang sudah lama melepaskan rumah mereka, malah sebelum saya dilantik menjadi Ahli Parlimen.
“Mereka yang membantah projek (tapi) sudah mengambil (pampasan) duit, tidak berhak untuk terus ‘berbunyi’. Jika mereka tiada tempat tinggal, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada menyediakan rumah sementara,” kata Johari dalam video tersebut.
Beliau juga mendakwa penduduk yang sudah menerima tawaran Ritzy Gloss sebelum permohonan kepada kerajaan untuk pengambilan tanah kawasan itu di bawah Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960 diluluskan pada 2021, hanya menerima RM10,000 dan rumah transit sementara.
Penduduk yang diambil rumah mereka oleh kerajaan di bawah LAA selepas mereka menolak tawaran pemaju, bagaimanapun menerima pampasan berjumlah RM940,000 bagi rumah teres dan RM245,000 untuk unit flat, kata Johari.
“Mereka sudah mendapat wang, tetapi kerana mahu lebih (pampasan), 95 peratus (penduduk yang menyokong projek) berhadapan masalah. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Jangan menganiaya mereka yang sudah meninggalkan rumah masing-masing,” katanya.
Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Parlimen Titiwangsa, Johari berjanji menyediakan wakil perundangan kepada penduduk Kg Sg Baru yang menjadi ‘mangsa’ keengganan Ritzy Gloss untuk menangani kebimbangan berkait jumlah pampasan yang ditawarkan.
Terletak tidak jauh dari Jambatan Pintasan Saloma dan stesen LRT Kg Baru, Kg Sg Baru terdiri daripada 98 rumah teres pegangan secara pajak dan 264 unit flat di lapan blok.

Pada 2016, Ritzy Gloss memeterai memorandum persefahaman dengan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kg Sg Baru untuk membangunkan kawasan tersebut melalui perjanjian usaha sama.
Bagaimanapun, projek itu secara konsisten mendapat bantahan segelintir penduduk tempatan yang menuduh persatuan itu tidak mengambil kira kepentingan majoriti penduduk.
Sebanyak 27 rumah teres dan 192 pemilik unit flat menerima tawaran Ritzy Gloss, manakala 37 lagi rumah teres dan 72 unit flat tertakluk kepada LAA.
Pemilik kediaman atas tanah berpendapat, memandangkan nisbah keluasan tanah mereka harus dianggap sebagai nilai yang lebih tinggi, undi mereka dalam perkara itu harus diutamakan daripada pemilik unit flat di perumahan strata.
Isu ‘majoriti lawan minoriti’ sudah lama menjadi perdebatan dalam kemelut pembangunan semula Kg Sg Baru, dengan penduduk yang berkeras untuk kekal di kawasan itu mendakwa bahawa pemaju dan badan kerajaan tersalah tafsir angka tersebut demi kepentingan mereka sendiri.
Sebelum ini, penduduk Kg Sg Baru dilaporkan tidak berpuas hati dengan kira-kira 310 peratus perbezaan pampasan yang ditawarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian berbanding dengan penilaian swasta.

Dalam sidang media pada 29 Oktober lalu, Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru berkata, beberapa pemaju yang berminat untuk mengambil alih projek terbabit daripada Ritzy Gloss, bersetuju membayar pampasan sebanyak RM950 kaki persegi kepada pemilik rumah teres dan pangsapuri.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM450 kaki persegi yang ditawarkan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.
“Pemaju terbabit juga akan memberikan pampasan meliputi pemilik yang menerima warta, pemilik yang tidak menerima warta dan pemilik yang sudah menandatangani persetujuan bersama Ritzy Gloss,’’ kata Pengerusi Jawatankuasanya, Lele Suzana.
Terdahulu, pakar kerajaan tempatan, Derek Fernandez berkata, pengambilan tanah menggunakan Seksyen 3(1)(c) akta terbabit harus mengikut sekatan dan syarat di bawah Seksyen 3(2) dan Seksyen 3(6) akta sama.
Jika gagal berbuat demikian, Derek berkata, ia akan mencetuskan keraguan sama ada penduduk terpaksa mematuhi notis pengusiran yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur, dengan terbaru mereka diminta mengosongkan rumah pada 19 Oktober lalu.
Walaupun penduduk terselamat daripada pengusiran ketika itu, dan Setiausaha Politik Anwar mengesahkan dengan Scoop bahawa tarikh berpindah dilanjutkan semula kepada 31 Oktober, ia tidak menghapuskan kebimbangan penduduk berhubung isu berbangkit.
Scoop sebelum ini turut menemu bual penduduk Kg Sg Baru, Khalid dan peguam yang mewakili jawatankuasa tersebut – 3 November, 2023