PUTRAJAYA – Bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkannya terhadap Tan Sri Lim Kit Siang.
Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk M. Gunalan, dan Datuk Azmi Ariffin, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Mohamed Apandi selepas memutuskan tiada merit untuk rayuan itu.
“Keputusan Mahkamah Tinggi disahkan dan perayu (Apandi) perlu membayar kos RM100,000 kepada responden (Lim),” kata hakim Hadhariah.
Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Apandi terhadap veteran DAP itu dan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan keesokan harinya.
Apandi menyaman Lim kerana didakwa memfitnah beliau dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ketika membaca keputusan mahkamah, Hakim Hadhariah berkata dalam kes ini, Lim menyatakan bahawa beliau mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana skandal kewangan 1MDB disiasat oleh pihak berkuasa.
“Kami juga bersetuju bahawa sebagai Ahli Parlimen (Iskandar Puteri, Johor ketika itu), defendan (Lim) mempunyai kewajipan untuk menyoal apa yang sedang berlaku berhubung siasatan skandal 1MDB.
“Skandal 1MDB adalah skandal kewangan melibatkan dana awam, bekas perdana menteri sendiri terlibat. Ia dianggap sebagai skandal kewangan terbesar yang pernah dihadapi negara.
“Sebagai Ahli Parlimen, defendan mempunyai kewajipan untuk membangkitkan perkara-perkara yang berkepentingan awam kepada pengundinya, terutamanya mengenai kes wang rakyat yang melibatkan seorang perdana menteri (Najib). Pembaca blognya, termasuk rakyat Malaysia berhak untuk dimaklumkan tentang perkembangan penyiasatan terhadap skandal itu.
“Kami mendapati hakim perbicaraan betul dengan berpegang bahawa perkataan yang dipersoalkan oleh Lim dibuat atas perlindungan bersyarat,” katanya. – 2 November, 2023