PUTRAJAYA – Pelakon veteran, Margaret Gan yang juga seorang mualaf meluahkan kegembiraannya apabila seorang lagi pelakon berbangsa Cina, Angeline Tan memeluk Islam.
Menurut Margaret, dia berharap agar Angeline atau nama Islamnya, Ardini dapat menjalani kehidupan mengikut cara Islam dengan baik.
“Saya gembira mendengar berita dia sudah memeluk agama Islam. Sebagai anak seni, kita mungkin sudah terbiasa dengan perangai ‘gila-gila’.
“Saya doakan agar dia dapat ikut cara hidup Islam yang sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada artis veteran di sini, semalam.
Ditanya sama ada Angeline pernah menghubunginya, Margaret berkata, mereka sudah lama tidak berhubung antara satu sama lain.
“Mungkin nombor telefon saya sudah hilang. Saya pun dah tak ada nombor telefonnya kerana sudah tukar telefon bimbit,” katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu kariernya, aktres berusia 80 tahun itu memberitahu dia sudah lama tidak berlakon sejak sebelum memeluk Islam lagi.
“Perkembangan seni saya sunyi sepi sahaja. Ada tawaran yang datang selepas saya memeluk Islam dan berhijab. Tetapi, skrip tidak sesuai dengan penampilan saya.
“Mereka mahu saya lakonkan watak perempuan Cina. Mana ada perempuan Cina pakai tudung. Saya ada juga beri cadangan supaya mereka ubah skrip, jadikan watak saya sebagai mualaf.
“Tetapi selepas itu mereka senyap sahaja. Saya pun tak adalah bertanya lagi. Lagipun saya faham, takkanlah kita suka-suka nak tukar skrip,” katanya.
Margaret memeluk Islam pada Februari 2022 selepas anak lelakinya terlebih dahulu berbuat demikian.
“Anak saya tak pernah tanya saya sama ada saya ingin memeluk Islam ataupun tidak. Tetapi saya sendiri yang nak memeluk Islam.
“Saya terfikir di usia begini, saya mahu mudahkan urusan anak saya andai saya meninggal kelak,” katanya. – 1 November, 2023