Cadangan naik taraf lesen motosikal B2 kepada B di peringkat akhir penelitian

Pelaksanaan cadangan itu dijangka akan dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan dan Timbalan Perdana Menteri selewat-lewatnya akhir tahun ini

3:15 PM MYT

 

MELAKA – Cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik sedang dalam peringkat akhir penelitian Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pelaksanaan cadangan itu dijangka akan dibentangkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selewat-lewatnya akhir tahun ini, sebelum pengumuman dilakukan.

“Cadangan berkenaan melibatkan dasar dan JPJ menunggu keputusan daripada MOT sebelum ia dibentang untuk pelaksanaan.

“Kalau perlu bawa ke Jemaah Menteri, kita akan bawa (cadangan pelaksanaan)… dalam tahun ini juga kita akan selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup MyLesen Peringkat Negeri Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Pada Ogos lepas, media melaporkan Ahmad Zahid memberi cadangan kepada MOT untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata pihaknya sedang mengatur gerak kerja bagi mengenal pasti calon yang layak mendapatkan lesen B2 secara percuma di bawah program My Lesen bagi tahun hadapan.

Beliau berkata usaha berkenaan akan dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat negeri agar sasaran 40,000 belia dalam kalangan B40 mendapat manfaat berkenaan.

Menurut Aedy Fadly di bawah program sama pada tahun ini, setakat hari ini, sebanyak 8,715 individu dalam kalangan B40 di seluruh negara daripada keseluruhan sasaran 9,000 calon mendapat lesen motosikal B2 melibatkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 298 orang penerima merupakan peserta dari Melaka dan setiap seorang daripada mereka dibiayai kos latihan dan ujian sebanyak RM300.

Sementara itu, katanya bekalan lesen kenderaan motor (LKM) dan geran kenderaan atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) fizikal adalah mencukupi di setiap kaunter perkhidmatan di Pejabat JPJ negeri.

“Jika ada pun (LKM atau VOC tidak mencukupi), ia melibatkan isu penghantaran dan kita telah menyelesaikannya, jadi orang ramai tidak perlu risau,” katanya. – 31 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related