KUALA LUMPUR – Pendirian berbeza Malaysia dan Singapura berhubung konflik Israel-Palestin tidak akan menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang penting ketika ini, kedua-dua negara itu sama-sama menyokong resolusi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
“Pendirian bersama kami menyokong resolusi PBB mengenai gencatan senjata. Itu bagi saya begitu kritikal buat masa ini.
“Dan bantuan kemanusiaan… pendirian itu disokong bersama oleh kedua-dua negara dan juga majoriti negara di dunia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 di Singapura, hari ini.
Menurutnya, Malaysia berpendirian tegas dalam isu itu kerana konflik tersebut bukan berlaku dua minggu lalu tetapi diistilahkan sebagai politik perampasan kuasa.
“Negara itu (Israel) tidak boleh terus menjajah bahagian tanah Palestin. Tetapi apa yang kritikal buat masa ini sudah tentunya keamanan dan menghentikan pembunuhan orang awam, bayi… manusia.
“Sudah tentu sentimen di Malaysia sangat kuat dan saya juga berhubung dengan ramai pemimpin Arab dan menyatakan pendirian bahawa kami menyokong penyelesaian secara aman dan penyelesaian segera konflik itu, tetapi bantuan kemanusiaan menjadi keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Hsien Loong berkata, pendirian Singapura berbeza dengan Malaysia kerana negara tersebut mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Bagaimanapun, katanya, Singapura mengecam insiden keganasan dan pembunuhan beramai-ramai membabitkan nyawa mereka yang tidak bersalah dalam konflik itu.
“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan hubungan dua hala kami. Saya rasa kami masing-masing menyatakan pandangan mengenai apa yang berlaku di Timur Tengah. Singapura telah pun membuat kenyataan berulang kali mengenai perkara ini dan mengutuk keganasan serta tragedi pembunuhan beramai-ramai.
“Saya rasa rakyat Singapura memahami pendirian kami. Malaysia juga telah menjelaskan pendiriannya. Keadaan tidak sama dengan kami kerana kami mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel tetapi pada masa sama, kami juga mempunyai hubungan mesra dengan pihak berkuasa Palestin,” katanya.
Justeru katanya, pendirian berbeza itu tidak akan menjejaskan kerjasama dan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.
“Jadi situasi diplomatik (kedua-dua negara) tidak sama, tetapi tidak ada sebab perkara itu menimbulkan kesulitan antara Malaysia dan Singapura.
“Dan… (kami) berharap kedua-dua negara, kedua-dua pihak boleh mencapai kemajuan ke arah penyelesaian dua negara yang dirundingkan ke Timur Tengah,” katanya.
Terdahulu, Anwar ketika berucap dalam Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin baru-baru ini mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak takut dengan ugutan pihak menyokong Israel ekoran kelantangannya memperjuangan rakyat Palestin.
Kata Anwar, beliau akan terus mempertahankan Palestin selagi diberi mandat sebagai Perdana Menteri di samping menerima sokongan padu seluruh rakyat Malaysia. – 30 Oktober, 2023