KUALA LUMPUR – Kerajaan mengekalkan subsidi serta harga kawalan telur ayam bagi gred A, B, dan C demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan industri barangan keperluan harian itu kekal mampan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan meneruskan subsidi dan kawalan untuk telur bagi mengelak kenaikan harga sehingga membebankan pelbagai pihak, khususnya golongan B40.
“Kalau ditarik subsidi itu… harga telur dijangka naik lebih kurang 10 sen (sebiji), maka akan berlaku (kenaikan sebab) bila beli telur bukan sebiji, tetapi sepapan dan lebih kurang RM3 (kenaikan jika sepapan).
“Tapi pihak penternak dan mereka terlibat memberi jaminan akan berusaha untuk mencukupkan telur pada masa akan datang. Kita melihat pada keadaan dan kerajaan akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.
Mengulas berkenaan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam, Mohamad berkata, kementerian memberi jaminan tiada kenaikan mendadak akan berlaku, selain mengurangkan ketirisan subsidi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“(Selepas apung harga ayam) Kita tidak boleh dapat agak berapa (peningkatan harga ayam), tetapi ia dalam keadaan terkawal. InsyaAllah di bawah harga siling.
“Pihak kita sudah berdialog dengan pihak penternak dan pembekal. Mereka sendiri katakan sekarang jual agak murah jauh daripada harga siling, maka harganya agak stabil bila diapungkan nanti,” katanya.
Susulan itu, Mohamad menggesa pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana harga ayam tidak akan mengalami kenaikan melampau, selain bekalannya di pasaran ketika ini mencukupi.
Menurutnya, pembelian panik boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat dan pengguna dinasihatkan agar membeli mengikut keperluan.
“Belilah ayam ikut kegunaan yang biasa dilaksanakan. Jangan beli terlampau banyak hanya untuk kumpul stok. Itu akan menyebabkan berlakunya ketidakcukupan sementara bekalan ayam dan pengguna sendiri akan terjejas.
“Saya sarankan kepada orang ramai, janganlah buat panic buying (pembelian panik). Tidak perlu disimpan (stok ayam) kerana bekalan sentiasa ada dan kementerian akan pastikan perkara tersebut,” katanya. – 30 Oktober, 2023