KUALA LUMPUR – Mimbar mengambil berat isu penderaan kanak-kanak yang semakin serius dan membimbangkan sejak kebelakangan ini dengan kegagalan ibu bapa mengawal emosi kemarahan antara faktor menyumbang peningkatan kes tersebut.
Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan anak-anak kecil itu didera bukan kerana kesalahan yang mereka lakukan, tetapi kemarahan ibu bapa atau penjaga terhadap orang lain yang dilepaskan terhadap mereka.
“Sangat menyedihkan apabila mendengar berita penderaan kanak-kanak masih berlaku pada zaman ini. Mereka tergamak mencederakan anak-anak kecil itu lantaran api kemarahan yang memuncak.
“Lebih menyedihkan, ada juga kes penderaan yang berakhir dengan kematian kanak-kanak tersebut.
“Kita marah dan mengecam rejim Zionis yang ketika ini gila menyerang, membedil dan membunuh anak-anak di Gaza.
“Justeru, apa bezanya dengan pelaku-pelaku yang tergamak mendera kanak-kanak di negara ini?,” soal mimbar menerusi khutbah bertajuk ‘Permata Ayah Bonda’.
Menurut teks khutbah itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Mei lalu merekodkan sebanyak 2,959 kes penderaan kanak-kanak manakala kira-kira 6,770 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.
“Sungguh, ujian kita dalam membesarkan anak pada waktu ini sangat mencabar. Dengan media sosial, hiburan yang semakin banyak, ideologi karut yang bertambah dan bermacam lagi cabaran dunia hari ini.
“Anak-anak merupakan ujian buat ibu bapa yang akhirnya nanti kemenjadian mereka itu bergantung kepada hasil didikan ibu bapa sejak dari awal,” katanya.
Sementara itu, mimbar di Perak dengan khutbah bertajuk ‘zakat dan wakaf pemangkin membangunkan ekonomi ummah’ mengingatkan amalan zakat serta agihannya dapat memenuhi keperluan asnaf serta mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
“Amalan berzakat mencetuskan sifat prihatin iaitu menghidupkan sifat ihsan dan ingin menolong golongan memerlukan,” kata teks itu.
Menurut khutbah itu lagi, umat Islam juga digesa agar menyokong usaha menjayakan program wakaf tunai.
“Iaitu dengan berwakaf menerusi pelbagai kaedah yang disediakan termasuk melalui sistem potongan gaji bulanan atau pembayaran secara dalam talian.
“Maklumat mengenai kaedah berwakaf boleh diperoleh melalui laman sesawang wakafperak.gov.my atau merujuk ke pejabat Baitulmal.
“Semoga melalui sumbangan wakaf dan kutipan zakat, pelbagai projek yang mempunyai nilai keupayaan pulangan ekonomi yang tinggi berjaya diperkasa untuk manfaat ummah,” kata teks itu. – 27 Oktober, 2023