Amelia Henderson hanya perlu bayar ganti rugi RM10,000, A. Aida reda dengan keputusan mahkamah

A. Aida berkata apa yang penting golongan artis perlu menghormati setiap kontrak yang ditandatangani

1:31 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan tidak perlu membayar RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd., kerana melanggar kontrak sebuah drama tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong bagaimanapun memutuskan Amelia membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini.

Dalam prosiding secara dalam talian itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi tersebut.

Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak.

Kemudian pada 7 April lepas, Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida menerusi syarikatnya kerana didapati melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.

Pada 18 April lepas, Amelia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Hakim Zulqarnain Hassan berkata mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson untuk menggantung perintah permohonan maaf kepada A. Aida menerusi syarikatnya A. Aida Production Sdn Bhd susulan rayuan kes itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan yang menghendaki penghapusan video daripada akaun Instagram defendan pertama (Amelia),” kata hakim itu ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian hari ini.

Berhubung perintah pembayaran ganti rugi, Zulqarnain turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu.

Dalam pada itu, A. Aida ketika mengulas keputusan mahkamah berkata dia reda apabila Amelia hanya perlu membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000.

Menurut A. Aida, apa yang penting usaha membawa ke mahkamah dapat memberikan pengajaran kepada golongan artis supaya menghormati kontrak yang telah ditandatangani.

“Setidak-tidaknya objektif saya ini tercapai melalui usaha yang saya lakukan ini dan mahkamah bersetuju bahawa terdapat pelanggaran kontrak seperti yang saya tuntut.

“Mahkamah turut menasihatkan akan kepentingan menghormati kontrak. Saya rasa kita perlu lihat secara menyeluruh keputusan mahkamah tinggi tersebut dan nasihat yang telah diberikan hakim tentang pentingnya menghormati kontrak,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Namun begitu, A, Aida juga berpendapat bahawa bayaran ganti rugi sebanyak RM10,000 itu jumlahnya agak sedikit.

“Apapun, saya menghormati keputusan mahkamah dan peguam saya juga belum mendapat apa-apa lagi alasan bertulis penghakiman terhadap keputusan yang dibuat.

“Saya juga akan berbincang lanjut dengan peguam sama ada perlu atau tidak untuk membuat rayuan lanjut ke mahkamah rayuan,” katanya. – 27 Oktober, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related