HRD Corp: Sivakumar akan hadir di PAC

Menteri Sumber Manusia dan pegawai Kementerian Kewangan yang mempersoalkan keputusan perbadanan itu, akan beri keterangan kepada PAC pada 2 November

8:00 AM MYT

 


KUALA LUMPUR — Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar akan menghadirkan diri di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan berhubung pengurusan dan kewangan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Difahamkan Sivakumar akan berbuat demikian di hadapan PAC di bangunan Parlimen pada 2 November. Turut dipanggil ialah Datuk Rosli Yaakub iaitu wakil Kementerian Kewangan (MoF) dalam lembaga pengarah HRD Corp.

Rosli, timbalan setiausaha tadbir urus dan pemantauan di bawah syarikat pelaburan kerajaan MoF, telah mencetuskan kebimbangan mengenai pengenalan program Pasport Kemahiran, di mana beliau memaklumkan ia beroperasi tanpa kelulusan lembaga.

Pada 10 April tahun ini, Rosli telah menulis surat enam muka surat kepada Pengerusi HRD Corp, Datuk R. Rajasekharan dan Ketua Eksekutif Datuk Shahul Hameed Dawood, membangkitkan kebimbangan termasuk kurangnya ketelusan dalam kelulusan, tidak mendapat kelulusan lembaga selain kedudukan kewangan Neomindz Sdn Bhd yang lemah, iaitu syarikat yang akan bekerjasama dengan HRD Corp.

Beliau juga bimbang memandangkan syarikat berkenaan dimiliki 50 peratus oleh warga India dan ini menimbulkan risiko kepada HRD Corp kerana membenarkan data tempatan yang sensitif berada di tangan entiti asing.

Neomindz akan dibayar RM12 untuk setiap penggunaan Pasport Kemahiran, sebuah enjin carian pangkalan data kemahiran.

Dalam surat yang bertajuk ‘Ketidakpatuhan Prosedur Perolehan Berkaitan Pasport Kemahiran’, Rosli berkata implikasi kewangan untuk HRD Corp boleh mencecah sehingga RM159.47 juta setahun berdasarkan pangkalan data 4.4 juta pekerja.

Pada 23 Oktober, Shahul Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran Ahmad telah dipanggil oleh PAC yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sebelum ini inkuiri itu dipercayai berhubung Pasport Kemahiran namun ia berkembang menjadi siasatan ke atas keseluruhan operasi dan institusi kemahiran yang mengawal kira-kira RM2 bilion termasuk sumbangan majikan.

Siasatan itu juga melibatkan proses membuat keputusan oleh HRD Corp, memandangkan ia beroperasi tanpa pengerusi atau lembaga penuh sejak April.

Turut hadir pada sesi inkuiri pada 23 Oktober itu ialah pegawai kanan HRD Corp dan wakil dari Kementerian Kewangan.

Difahamkan PAC akan melanjutkan tempoh bersidang sehingga sekurang-kurangnya lima sesi.

Pada 21 Oktober lalu, Scoop melaporkan bahawa laporan rangka kerja tadbir urus yang bertujuan untuk mengelakkan salah urus dan penyelewengan pada masa hadapan dialih keluar daripada sistem perbadanan itu.

Pengauditan ke atas Dana Pembangunan Sumber Manusia ketika itu, sebelum ia dinamakan semula sebagai HRD Corp diarahkan oleh Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Kulasegaran pada 2018.

Bagaimanapun laporan itu, kata Kulasegaran, tidak lagi boleh diakses sejak beliau meninggalkan kementerian itu pada 2020.

Pada April, Sivakumar telah disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penahanan dua pembantu kanannya berhubung tuduhan rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Sivakumar kemudian mendedahkan kepada media bahawa lima daripada pegawainya telah dibuang susulan skandal terbabit. – 26 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related