Permohonan warganegara kini hanya 14 hari: Saifuddin

Tempoh itu dipendekkan berbanding 73 hari sebelum ini

1:09 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Tempoh pemprosesan permohonan kewarganegaraan dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari menerusi Sistem Tapisan Keselamatan Warganegara yang dilancarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses berkenaan akan dijalankan secara lebih cekap menerusi pelaksanaan sistem itu yang dibangunkan JPN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jika sebelum ini dokumen permohonan kewarganegaraan yang diterima JPN akan diserahkan kepada pihak polis secara fizikal (bercetak), tetapi dengan adanya sistem ini penyerahan dokumen adalah secara dalam talian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan JPN ke-75, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sistem itu secara automatik akan menolak permohonan yang didapati pemohonnya terlibat dengan pertubuhan dianggap berbahaya dan mengancam ketenteraman awam, selain tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, Kabinet akan memuktamadkan penubuhan sebuah agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan negara atau single border agency dalam masa terdekat.

“Keputusan siapa yang akan terlibat di dalam single border agency itu akan dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet dalam masa terdekat.

“Keselamatan dan kawalan sempadan negara di mana-mana negara di dunia ini merupakan aspek penting dan agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara paling banyak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta warga KDN supaya bersiap sedia sekiranya kementerian dan agensi di bawahnya dipertanggungjawabkan terhadap penubuhan agensi itu.  

Ketika ini terdapat lebih 20 agensi terbabit dalam mengawal selia sempadan negara termasuk Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). – 25 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related