Wan Saiful mengaku tidak bersalah 18 pertuduhan ubah wang haram

Beliau didakwa bagi kesemua pertuduhan itu selepas ia dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussain hari ini

11:11 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan baharu pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau didakwa bagi kesemua pertuduhan itu selepas ia dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussain hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kesemua 18 kesalahan itu antara 12 Ogos hingga 13 November tahun lalu.

13 daripada 18 pertuduhan yang dihadapinya hari ini mendakwa beliau, sebagai Pengarah Syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd memindahkan lebih RM1.66 juta wang hasil aktiviti haram kepada beberapa entiti termasuk Sinar Karangkraf Sdn Bhd dan Jejak Global Enterprise.

Bagi baki lima pertuduhan, beliau didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.93 juta untuk membayar beberapa entiti lain termasuk Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd, sebagai bayaran untuk membeli sebuah Ford Ranger.

Kesemua 18 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda maksimum sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah yang diperoleh daripada pengubahan wang haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan.

Wan Saiful, atau nama sebenarnya Wan Saifulruddin, diwakili peguam Datuk Seri K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad, manakala pendakwaan dikendalikan Farah Ezlin Yusop Khan.

Terdahulu, beliau dijadual didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Bagaimanapun, Azura kemudian membenarkannya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum pertuduhan dibacakan kepadanya, kerana terdapat kesilapan teknikal dan pihak pendakwaan perlu memfailkan semula pertuduhan untuk dibacakan di hadapan Suzana.

Semasa prosiding mahkamah, yang didahului oleh Suzana, Farah Ezlin mencadangkan jumlah dan syarat jaminan sama diguna pakai untuk pertuduhan kes dihadapi Wan Saiful di mahkamah berasingan sebelum ini.

Pihak pembelaan terus memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan pihak pendakwaan.

Suzana kemudian membenarkan cadangan Farah Ezlin dan menetapkan 1 Disember untuk pengurusan kes dibicarakan di hadapan Azura.

Sebelum ini, Wan Saiful berdepan pertuduhan rasuah pada 13 Februari lalu kerana didakwa meminta dan menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung program Jana Wibawa.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu turut didakwa pada 21 Februari lalu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah hampir RM7 juta.

Ikat jaminnya, kemudian, ditetapkan kepada RM400,000 dengan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri ke ibu pejabat SPRM pada minggu pertama setiap dua bulan.

Pertuduhan awal itu difailkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada Mei, beliau memohon agar pertuduhannya dibatalkan tetapi permohonannya itu ditolak Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pada 21 Julai lalu. – 25 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related