Malaysia dituntut desak Israel ke ICJ, ‘walaupun kita kecil, berani kerana benar’

Hadi mempersoalkan ketegasan perundangan antarabangsa berhubung konflik Israel dan Palestin, termasuk dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza

5:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut lebih lantang bersuara dan bertegas dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas tentera Israel.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan juga wajar menjadi antara pihak yang mendesak Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

“Saya minta kerajaan Malaysia mesti ke hadapan dengan tegas dan bertindak berani. Berani. Walaupun (negara) kita kecil, berani kerana benar.

“Desak mereka yang terbabit, Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya ke Mahkamah (Jenayah) Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Hadi yang juga Presiden PAS mempersoalkan ketegasan perundangan antarabangsa berhubung konflik Israel dan Palestin, termasuk dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

Katanya, perundangan antarabangsa itu diibaratkan sebagai sesuatu yang besar tetapi hanya ‘memerangkap’ perkara kecil.

“Perundangan antarabangsa tak jadi apa-apa biarpun ICJ itu ada, ini macam sarang labah-labah, (rosak) dirempuh binatang besar, sebaliknya hanya serangga kecil yang melekat,” katanya.

Terdahulu pada sesi Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant dihadapkan ke ICJ atas jenayah perang dilakukan mereka.

Setakat ini, lebih 5,000 penduduk Palestin terkorban dengan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak sejak tercetus konflik Israel-Palestin pada 7 Oktober lalu. – 24 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

No call with Trump? PM Anwar has better things to do: Nazri

Former envoy slams US obsession, says Malaysia shouldn’t grovel and should prioritise China, Russia, India, and Türkiye

Santan naik harga: peniaga mungkin terpaksa jual kuih RM1 sebiji

Kenaikan itu sukar dielak kerana selain kelapa dan santan yang mendadak, peniaga juga terpaksa menghadapi kenaikan bahan-bahan mentah yang lain

Gergasi minyak Thailand tarik diri daripada projek Lang Lebah ketika pertikaian Petronas-Petros makin memuncak

Pernah dianggap sebagai ‘projek berprestij’ di Malaysia, projek luar pesisir Sarawak kini berdepan masa depan yang tidak menentu akibat lonjakan bajet serta pertikaian minyak antara negeri-persekutuan dengan kos melebihi AS$1 bilion

Related