KUALA LUMPUR — Penduduk Palestin di Gaza terus berhadapan malam-malam yang menakutkan sejak bedilan Israel pada 7 Oktober lalu, termasuk serangan paling kejam, malam tadi.
Malam tadi, seramai 23 orang maut termasuk wanita dan kanak-kanak dalam serangan kurang 12 jam di Khan Younis, menyaksikan kediaman awam menjadi sasaran jet pejuang.
Sumber berita agensi WAFA melaporkan, kawasan pangsapuri di al-Faluja, seramai 17 orang terkorban manakala berbelas yang lain mengalami kecederaan.
Lima mangsa yang terkorban berasal dari satu keluarga yang terperangkap di celah runtuhan pangsapuri berkenaan.
Di bandar Rafah pula, seorang wanita maut manakala yang lain cedera dalam serbuan yang dijalankan Israel dari rumah ke rumah.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, jumlah rakyat Palestin yang menjadi mangsa pembunuhan zionis di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu adalah seramai 4,651 orang, manakala 14,245 lagi cedera.
Mereka yang kini ditahan oleh Israel adalah seramai 1,215 orang. – 23 Oktober, 2023