DAP tidak pernah antiraja: Loke

Ini kerana dasar parti itu yang tidak menerima darjah kebesaran dianugerahkan oleh institusi diraja

4:07 PM MYT

 

SEREMBAN – DAP menjelaskan parti itu tidak pernah bersikap antiraja sebaliknya menjunjung tinggi sistem Raja Perlembagaan dan menghormati institusi diraja seperti termaktub dalam Perlembagaan, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.

Loke berkata DAP seringkali dilabelkan antiraja kerana dasar parti itu yang tidak menerima darjah kebesaran dianugerahkan oleh institusi diraja, bagaimanapun DAP tidak menolak penganugerahan itu sekiranya terdapat pemimpin bersara dalam politik dianugerahkan darjah kebesaran tersebut.

“Kita (DAP) selalu dimomokkan dengan perkara itu (dilabel antiraja), dasar kita tidak menerima darjah kebesaran, ia tidak tepat sama sekali, kita tidak pernah bersikap melawan raja, tetapi dasar kita tidak menerima darjah kebesaran itu ditakrifkan sebagai melawan raja, saya jelaskan ia tidak betul,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP kali ke-22 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta wakil parti Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Loke menyeru semua parti politik di negara ini untuk tidak mengamalkan politik ekstrem dengan memainkan sentimen agama dan kaum yang boleh membawa perpecahan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata DAP tidak memusuhi mana-mana agama dan kaum di negara ini, namun menjadi kebimbangan apabila sentimen agama dan kaum digunakan sesetengah pihak ia akan menjejaskan keharmonian dalam masyarakat. 

“Ini sangat bahaya, seperti di Parlimen, kita dilabelkan sebagai kafir, itu sesuatu yang tidak patut, saya yakin rakan-rakan pemimpin Islam tidak bersetuju (perkara itu). Itu sesuatu yang sangat bahaya, Malaysia mesti kekal aman harmoni,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan adalah berlandaskan prinsip Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan ia satu hubungan yang baik bagi memastikan pentadbiran di negara ini berjalan lancar dengan harmoni.

Beliau berkata kenyataan MCA bahawa bukan masa yang sesuai ketika ini untuk MCA dan DAP menjalinkan kerjasama menyeluruh adalah pandangan pemimpin parti itu, namun pihaknya fokus dalam memastikan persefahaman yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak melihat terhadap individu dalam parti, PH dan BN mempunyai hubungan baik. Kenyataan tersebut adalah pandangan masing-masing, MCA merasakan susah untuk berkerjasama itu pandangan mereka, ia tak menjejaskan hala tuju perjalanan kerajaan hari ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon yang ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA ke-59 berkata bahawa bukan masa yang sesuai ketika ini untuk kerjasama menyeluruh antara MCA dan DAP, namun kedua-dua pihak boleh mengekalkan kerjasama dalam isu tertentu. – 22 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related