SHAH ALAM – PAS menegaskan parti itu tidak membayar pempengaruh TikTok atau TikTokers yang menyokong perjuangan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sebaliknya mereka yang terbabit membuat promosi secara sukarela.
“Mereka berjuang tanpa bayaran, tanpa ganjaran tapi mereka dihina sorang pemimpin sebelah sana bertaraf menteri, kononnya kita bayar TikTokers, (kononnya guna) peruntukan kita minta untuk bayar TikTokers.
“Kita nak beritahu hari ini, TikTokers kita bekerja tanpa bayaran dan atas sebab itulah yang menentukan kemenangan kita hari ini,”katanya dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak mahu peruntukan wakil pembangkang diguna untuk membayar TikTokers.
Katanya, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan dalam bentuk projek serta bantuan terus kepada rakyat di kawasan masing-masing supaya ia tidak menimbulkan masalah.
Dalam pada itu, Afnan berkata, sayap pemuda PAS juga akan melantik pemimpin muda wanita menyertai barisan kepimpinan bagi menghargai sokongan yang diberikan golongan itu pada pilihan raya lalu.
“Kita juga bersedia melantik sebilangan wanita ke dalam AJK Pemuda kerana Perlembagan PAS tak sebut AJK Pemuda mestilah lelaki,” katanya. – 22 Oktober, 2023