Kalau Rayer anak jantan, mai berani tunjuk bukti saya caci PM: Sanusi

Menurutnya, tuduhan itu secara jelas adalah fitnah demi mewujudkan persepsi negatif terhadap PAS serta PN

9:07 AM MYT

 

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya mengemukakan bukti bahawa beliau melakukan cacian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Sanusi, tuduhan itu secara jelas adalah fitnah demi mewujudkan persepsi negatif terhadap PAS serta Perikatan Nasional (PN).

“Kalau (Ahli Parlimen) Jelutong (RSN Rayer) anak jantan, mai (datang) berani, hang jangan dok salak begitu. Apa yang saya caci, beritahu,” katanya dalam pidato empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan PAS, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri mengulas kenyataan Rayer di Dewan Rakyat yang mendakwanya banyak mencaci Anwar sebelum ini.

“Jangan dok menyalak di belakang tu, aku nak dengar hang tuduh aku caci Perdana Menteri. Caci tang (di) mana… apa yang aku caci, saya tak pernah maki Perdana Menteri sekalipun.

“Namun, (saya) beri hujah sebab apa dia kata dulu tak boleh dilakukan tapi sekarang dia boleh pula buat. Bohong sahaja dia (Rayer) bila kata Perdana Menteri takut jumpa Menteri Besar Kedah sebab saya suka caci maki dia, inilah penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, empat kerajaan negeri ditadbir PAS atau ‘State-Goverment 4’ (SG4) berpotensi menjadi kuasa ekonomi selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihatnya.

Jelasnya, sebagai bukti, negeri tersebut menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1.3 bilion minggu lalu, tambahan daripada pelaburan sedia ada berjumlah RM2.5 bilion.

“Dengan SG4, dinasihatkan Dr Mahathir kita akan dapat bangunkan empat negeri jadi kuasa ekonomi yang digeruni.

“Minggu lepas ada pelaburan baru RM1.3 bilion, tambah jadi banyak pelaburan di Perlis,” katanya.

Tegasnya, dengan kemasukan pelaburan itu, Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan akan berupaya berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan Pusat.

“Kita harap lepas ini tak bergantung dengan kerajaan Pusat, kita berusaha ke arah itu untuk sejahterakan rakyat Perlis. Perlis memerlukan masa untuk mengikis imej pentadbiran Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu memerintah Perlis selama tujuh dekad.

“Perlis 70 tahun enam bulan masa umum kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu. BN memerintah Perlis itulah lama tak lama. Nak kikis bayang itu payah perlukan masa… penggal pertama baiki, cuci apa kerajaan lama buat. Saya di Perlis baru 11 bulan, perlukan masa panjang untuk memperelok pentadbiran,” katanya. – 21 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related