Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan perkasa ekonomi Melayu: Asyraf

MT Umno bersetuju melantik Datuk Seri Abdul Johari Ghani untuk menganjur sebuah kolokium pra-kongres, dengan menggembleng kepimpinan parti di semua peringkat

12:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan pada Januari tahun depan adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kongres berkenaan merupakan cetusan awal Umno pada 1995, yang bukan sahaja telah menggagaskan pelbagai strategi dan initiatif penting sebaliknya turut menggerakkan agenda Melayu dan institusi-institusi bermakna kepada orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Katanya, ia termasuk penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

“Umno merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan keyakinan beliau memberikan amanah kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk mempengerusikan kongres tersebut, yang juga dianggap sebagai amat penting.

“(Ia) sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu Bumiputera,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di WTC, malam ini.

Mengulas lanjut, Asyraf yang juga pengerusi Mara berkata agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baru untuk mendepani cabaran bagi tempoh 30 tahun yang akan datang.

“Bagi tujuan itu, ia memerlukan pelbagai perancangan yang lebih strategik dan berkesan, untuk memperkasa ekonomi Bumiputera, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Pelembagaan Persekutuan,’’ katanya.

Bagi mendukung penganjuran kongres itu juga, Asyraf berkata MT Umno bersetuju melantik naib presiden parti tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menganjur sebuah kolokium pra-kongres, dengan menggembleng kepimpinan parti di semua peringkat.

“Segala maklum balas dan sumbangan yang diperolehi hasil kolokium ini akan dibawa ke kongres ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak oleh Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Sementara itu, mesyuarat malam ini juga bersetuju untuk melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, sebagai pengarah jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.

PRK ini diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.

Pada 3 Oktober lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November. – 21 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related