Taktik baru dikesan, minyak masak paket 1kg dibotolkan dan dijual pada harga pasaran

Minyak masak paket itu dipindahkan ke dalam tangki, dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi

7:07 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan taktik penyeludup minyak masak bersubsidi yang menggunakan modus operandi membeli minyak masak paket satu kilogram sebelum dibotolkan semua dan dijual pada harga pasaran.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, taktik itu dikesan selepas pihak berkuasa berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi di sebuah premis di Taman Pandamaran Permai, Pelabuhan Klang, Khamis lalu.

“KPDN percaya modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan disimpan di dalam stor. Minyak masak paket itu dipindahkan ke dalam tangki (Intermediate Bulk Container) IBC untuk dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan telah menemukan lapan tong jenis IBC yang mengandungi minyak masak dan 250 kotak minyak masak paket 1kg bersubsidi jenama Cap SR Hijauan dan Cap Kebarung selain beberapa plastik minyak masak paket 1kg yang telah dipotong bungkusannya,” katanya di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu juga, ujar beliau, KPDN berjaya merampas minyak masak sebanyak 11,050kg serta beberapa peralatan seperti pam penyedut minyak, hos getah, pelantar besi dan beberapa dokumen perniagaan bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM43,545,” katanya.

Kes itu, katanya disiasat di bawah Subseksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu memindahkan, membenarkan artikel dikawal iaitu minyak masak untuk dikeluarkan atau membenarkan artikel disimpan di mana-mana premis yang tidak berlesen atau diberikan kelulusan oleh pengawal untuk penyimpanan dan Peraturan 3, Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen.

Sabit kesalahan, katanya boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebii tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Armizan turut menggesa masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama jika mempunyai maklumat mengenai aktiviti haram itu.

“KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguatkuasa di lapangan dan mempertingkatkan aktiviti pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung,” katanya. – 20 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related