SHAH ALAM – PAS menegaskan parti itu tidak berminat menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti dihasratkan beberapa pimpinan Umno.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sukar untuk hasrat itu direalisasikan berikutan pemimpin Umno terdiri daripada individu yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi, berbanding menjaga kebajikan rakyat.
“Kita boleh lihat siapa dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu, siapa dalam dia, nak cuci macam mana, banduan ada, bekas perasuah pun ada, kluster mahkamah pun ada macam mana kami (PAS) nak ikut.
“Macam mana hendak sucikan najis kalau kita masuk dalam (bersama) najis (Kerajaan Perpaduan). Kita tidak boleh masuk dalam tong najis, kena duduk luar sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS kali ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Hadi menafikan dakwaan Perdana Menteri yang terbuka menerima kehadiran PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, susulan parti itu belum menerima sebarang tawaran atau jemputan mengenai perkara berkenaan.
“Setakat ini jemputan atau tawaran sertai Kerajaan Perpaduan, PAS belum terima seperti diumumkan Perdana Menteri menerusi media antaranbangsa dalam satu temu bual (bersama Time Magazine),” katanya.
Hadi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa suhu politik negara dapat diturunkan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat sekiranya PAS memilih menyertai Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, penyertaan PAS ke dalam Kerajaan Perpaduan juga membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dapat diberikan.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan jika PAS menyertai pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan, terutamanya yang mempunyai orang Melayu Islam seperti Umno, Amanah dan PKR yang akan dilabel taksub atau mengikut telunjuk parti tertentu.
Isu mengenai penyertaan PAS dalam Kerajaan Perpaduan hangat diperkatakan apabila Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim ketika berucap pada acara sama berkata, parti itu yakin akan kembali menjadi sebahagian gabungan yang menerajui Putrajaya tidak lama lagi.
Malah, Tuan Ibrahim secara berseloroh berkata, ketika parti itu menjadi kerajaan mereka hanya memenangi 18 kerusi Parlimen, namun PAS kembali sebagai pembangkang selepas memenangi 43 kerusi dan ia ‘tanda kiamat semakin hampir’. – 20, Oktober, 2023