SHAH ALAM – Ahli PAS digesa tidak terlalu taksub dalam memberi ketaatan kepada arahan parti kerana sikap terbabit, mampu menjadi ‘penyakit’ yang menghalang serta menyukarkan ia mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya mereka perlu bersama-sama dengan pemimpin, mendalami program pemerkasaan pentarbiahan syakhsiah dan jati diri, susulan nilai itu amat penting bagi memudahkan perjalanan parti dalam mencapai kemenangan.
Malah, katanya, cukup penting untuk setiap ahli PAS mendalami ilmu Islam secara tafaqquh fi al-din (berilmu dan bijak memahaminya), selain mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan tidak tenggelam dalam perbahasan furu‘ (perkara cabang) yang mencetuskan masalah khilafiah (pertelingkahan), sehingga menimbulkan bibit perpecahan dalam parti serta masyarakat.

“PAS (pula) akan meneruskan agenda penyatuan ummah untuk menyatukan umat Islam dan bersama orang bukan Islam yang tidak ekstrem, demi kestabilan serta keharmonian negara. Kita berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengetepikan slogan Islam untuk semua (Islam for all).
“Parti juga bersama Perikatan Nasional (PN) mesti berpegang teguh dengan imej serta dilihat bersih, wibawa dan inklusif. PN yang menjadi pilihan rakyat mesti dilihat berbeza dengan PH-BN yang cakap tidak serupa bikin,” katanya ketika merasmikan Muktamar PAS ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Hadi berkata, tanggungjawab menarik sokongan undi bukan Islam dan memberikan penerangan perlu dilaksanakan ahli PN, terutama daripada Gerakan dalam meyakinkan bahawa gabungan berkenaan mampu menjamin keadilan dan keharmonian.

“Tumpuan perlu diberikan pada aspek pengukuhan organisasi dan keserasian jentera di peringkat negeri serta kawasan, khususnya rakan dalam PN perlu menumpukan kepada penambahan ahli yang ramai dan cawangan yang banyak,” katanya.
Dalam pada itu, Hadi menegaskan, walaupun PAS belum mencapai tahap tamkin (berkuasa) sepenuhnya dalam kerajaan pusat, parti itu menguasai empat kerajaan negeri, selain memiliki jumlah terbesar bagi kerusi Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Jelasnya, pencapaian itu menunjukkan secara jelas langkah PAS ke Parlimen berjaya mendapat dukungan rakyat, walaupun tidak berjaya mentadbir Putrajaya. – 20 Oktober, 2023