KUALA LUMPUR – Jika seseorang selebriti tidak berkongsi mengenai konflik perang Palestin-Israel, ia tidak bermakna mereka tidak peduli dengan situasi melibatkan penduduk Palestin.
Sebaliknya, kata pelakon Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk bersolidariti.
“Saya nak cakap lebih-lebih pun tak berani tapi kalau kita yakin rezeki itu Allah yang beri, kongsi sahajalah.
“Tapi kita tidak boleh bersangka buruk terhadap mereka yang tidak berkongsi apa-apa di media sosial. Mungkin dalam diam atau dalam sujud (solat) mereka mendoakan.
“Ada sesetengah individu tidak suka war-warkan, jadi kita sebenarnya kena bersangka baik sahaja.
“Cuma satu sahaja yang boleh saya pesan, kita jangan terlalu banyak cakap kerana takut tersalah cakap,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media rancangan terbaru Warna, Gelak 90 Saat.

Sejak akhir-akhir ini netizen mula mempertikaikan tentang sikap segelintir selebriti dan pempengaruh media sosial yang tidak berkongsi tentang Palestin kerana dikatakan takut kehilangan ‘job’.
Dalam perkembangan lain, Noorkhiriah dan teman baiknya Ieda Moin bakal muncul dalam rancangan komedi Gelak 90 Saat di mana mereka akan bergandingan sebagai pasangan duo dalam rancangan yang bakal menemui penonton bermula 20 Oktober ini.
“Saya terima untuk sertai rancangan ini kerana saya seorang yang sukakan cabaran. Bukan senang untuk buat orang ketawa. Pada saya lebih senang untuk buat orang menangis daripada ketawa.
“Tetapi saya bertuah kerana gandingan saya adalah Ieda Moin. Bab-bab lawak saya memang serahkan pada dia,” kongsinya.
Khiriah juga bakal terlibat dalam filem usahasama Malaysia, Indonesia tidak lama lagi dan sebuah drama yang akan memulakan penggambaran pada November nanti. – 19 Oktober, 2023