KUALA LUMPUR – Terguris dilabel kafir, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan memfailkan satu usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, beliau sudah mengemukakan usul berhubung perkara itu semalam.
Malah katanya, beliau turut bangun untuk mendapatkan jawapan daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang mempengerusikan sesi tersebut mengenai perkara itu.
“Pada saya, ini menghina Dewan maka saya percaya kita sebagai Ahli Parlimen harus meletakkan noktah kepada ungkapan tersebut apabila ditujukan kepada saya sebagai Ahli Parlimen beragama Islam,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Saya semalam telah memfailkan suatu usul untuk merujuk YB Pengkalan Chepa ke Jkuasa Hak dan Kebebasan atas ungkapan ‘kafir’ kepada DAP.
— Syahredzan Johan (@syahredzan) October 19, 2023
Saya juga telah bangkitkan perkara ini di dalam Dewan dan dimaklumkan bahawa ia sedang dipertimbangkan oleh YB Tan Sri Speaker. pic.twitter.com/Pro9Kv9Y59
Semalam, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Ahmad Marzuk melabelkan DAP sebagai kafir.
Tindakan itu mengundang kemarahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menggesa pemimpin PAS tersebut menarik balik kenyataannya memandangkan DAP turut dianggotai Ahli Parlimen beragama Islam.
Selain itu, Syahredzan turut membangkitkan isu penggunaan ungkapan Zionis oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang dipercayai ditujukan kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
“Saya sudah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan menantikan jawapan balas daripadanya berhubung kenyataan tersebut.
“Saya juga ingin tahu mengenai status surat tersebut,” katanya sebelum Ramli memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sedang meneliti perkara tersebut dan akan memberikan respons balas dalam masa terdekat. – 19 Oktober, 2023