‘Persoalannya di mana OIC, kenapa berdiam diri…’: Shamsul Anuar

Katanya, kekejaman Israel ke atas Palestin, termasuk mengebom hospital di negara berkenaan juga bertentangan Konvensyen Geneva

8:43 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa bertindak lebih tegas dalam mengutuk kekejaman tentera Islam ke atas Israel, bukannya sekadar mengeluarkan ‘sekeping kenyataan’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sikap OIC berdiam diam selepas mengeluarkan kenyataan baru-baru ini juga, mencetuskan persoalan mengapa pihak terbabit tidak lebih lantang bersuara atau bertindak.

“Persoalannya juga di mana OIC? Kenapa berdiam diri? Tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, tindakan tentera Israel mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arab di Gaza bukan sahaja perbuatan yang sangat kejam dan biadap, malah melanggar apa diperakukan dalam Konvensyen Geneva.

“Tindakan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arab di tengah Gaza hingga menyebabkan 500 orang menerima kesan, sangat tidak bertamadun.

“Ini jenayah perang yang sangat tidak berperikemanusiaan, justeru semua masyarakat dunia mesti mengutuk kekejaman ini,” katanya.

Konvensyen Geneva menerangkan hak asas orang awam dan tentera yang terbabit dalam peperangan.

Ia mewujudkan perlindungan kepada mereka yang cedera dan sakit, selain memberi perlindungan kepada orang awam di dalam serta di sekeliling kawasan perang.

Semalam, media melaporkan sebuah hospital di tengah Gaza yang dipenuhi pesakit dan pelarian Palestin dibom askar Zionis, menyebabkan lebih 500 orang terbunuh.

Pihak berkuasa mengesahkan angka kematian itu adalah tertinggi membabitkan serangan tentera Israel dalam masa sehari sejak 2008.

Tindakan itu dikecam masyarakat antarabangsa dan beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Israel sebagai gila serta hilang perikemanusiaan apabila mengebom hospital di Gaza.

Perdana Menteri turut menyuarakan rasa kesalnya terhadap negara Barat yang berat sebelah dalam hal itu.

Manakala, Agensi Berita Jordan melaporkan, Raja Jordan, Raja Abdullah mengecam insiden pembunuhan kejam orang awam tidak bersalah, termasuk pesakit yang sedang menerima rawatan, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Baginda bertitah, perbuatan itu tidak boleh dibiarkan kerana ia jenayah perang amat kejam, selain bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan jelas tidak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, malah Israel perlu segera menamatkan pencerobohan ke atas Gaza.

Pada 9 Oktober lalu, OIC mengeluarkan kenyataan mengecam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin dan mencederakan ribuan penduduknya.

OIC juga menyalahkan Israel atas peningkatan ketegangan itu, sambil menambah pendudukan berterusan adalah punca ketidakstabilan. – 19 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related