Finas tumpu pembangunan skrip, produksi bersama tingkatkan industri kreatif Malaysia

Datuk Kamil Othman berkata dengan peruntukan itu, beliau juga mahu meningkatkan pemasaran dan promosi filem tempatan kepada penonton antarabangsa

10:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan penghasilan filem secara bersama untuk meningkatkan industri kreatif Malaysia.

Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman berkata RM90 juta yang diperuntukkan bagi industri kreatif dalam Belanjawan 2024 adalah memadai ke arah merealisasikan dua fokus agensi itu untuk menambah baik industri perfileman Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Kedua-dua fokus ini mungkin menjadi kunci kepada beberapa perkara yang kita cuba capai dalam negara. Seperti kebanyakan filem Malaysia, hanya berjaya bertahan tiga atau empat hari di pawagam.

“Teori peribadi saya mungkin rakyat Malaysia suka melihat filem Malaysia berjaya di luar (negara) dahulu sebelum ia (filem Malaysia) ditayangkan di negara ini. Satu daripada penyelesaiannya adalah pembikinan filem secara bersama kerana kebanyakan daripada mereka (rakyat Malaysia) suka menyaksikan bakat dan bintang dari luar,” katanya pada program Belanjawan 2024 di Bernama TV hari ini. 

Tambahan pula, beliau berkata dengan peruntukan itu, Finas dapat menghasilkan filem yang berupaya menjana tiga atau empat kali nilai ekonomi untuk negara ini. 

“Sekiranya anda melihat negara lain, industri kreatif mereka termasuk seni bina, reka bentuk dan fesyen. Tetapi di Malaysia, industri kreatif adalah mengenai televisyen, muzik dan filem. Saya rasa apa yang ada dalam belanjawan sudah memadai. Tetapi adalah menjadi tugas kami untuk memperlihatkan kepada kerajaan dengan jumlah itu, kami sebenarnya boleh mewujudkan mungkin tiga atau empat kali ganda nilai ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Kamil berkata dengan peruntukan itu, beliau juga mahu meningkatkan pemasaran dan promosi filem tempatan kepada penonton antarabangsa.

“Pandangan peribadi saya, kita boleh memasarkan filem tempatan ke luar Malaysia. Saya percaya terdapat beberapa negara lain yang bersedia untuk mengambil kandungan kami,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat, berkata sejumlah RM160 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi manfaat industri seni dan kreatif tempatan untuk memastikan bakat kreatif tempatan terus disokong, seterusnya menggalakkan penghasilan lebih banyak produk seni di Malaysia.

Daripada jumlah itu, RM90 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk terus menggalakkan penerbitan filem bertaraf antarabangsa. – 18 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related